Pembukaan semula sekolah, patuhi SOP

- Advertisement -

ALOR SETAR: Jabatan Pendidikan Negeri Kedah memperincikan garis panduan pembukaan semula sekolah berdasarkan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

- Advertisement -

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, langkah berkenaan telah disusun oleh warga pendidikan Negeri Kedah supaya lebih proaktif dengan persediaan bagi pembukaan sekolah hari ini.

“Pelbagai langkah telah diambil untuk memperincikan persiapan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid, guru serta seluruh warga sekolah.

“Saya berharap agar ibu bapa, guru-guru dan anak-anak dapat memberi kerjasama dalam mematuhi garis panduan yang telah dikeluarkan, anak-anak kita akan dapat hadir ke sekolah dan mengikuti pembelajaran dalam keadaan selamat,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Jeneri mengingatkan ibu bapa supaya memastikan hanya anak-anak yang sihat sahaja boleh dihantar ke sekolah.

Ujarnya, anak-anak juga dinasihatkan agar sentiasa mematuhi garis panduan KPM semasa berada di sekolah.

Pada hari ini, sebahagian murid di Kedah telah memulakan sesi persekolahan dalam situasi normal baharu semasa fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)berdasarkan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah yang telah dikeluarkan oleh KPM.

Garis panduan tersebut terpakai kepada semua; sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta, dan mana-mana institusi yang berdaftar dengan KPM. 

Sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM juga disaran menggunakan garis panduan ini.

“Selain daripada pengawasan guru di sekolah, sekali lagi saya mohon jasa baik ibu bapa atau penjaga supaya sentiasa berpesan kepada anak-anak agar mengamalkan penjarakan sosial dan menjaga kebersihan diri pada setiap masa,” ujarnya lagi.- HARAKAHDAILY 24/6/2020

- Advertisement -