PAS Pusat tentu agihan kerusi PRU-15

- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS Kelantan menyerah kepada PAS Pusat untuk membuat pendirian mengenai proses agihan kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) 15.

Timbalan Pesuruhjayanya, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, PAS negeri hanya berperanan sebagai pelaksana terhadap apa yang bakal diputuskan pimpinan tertinggi parti.

- Advertisement -

“Dalam perbincangan parti kita dari segi dasar setuju menyerah kepada PAS Pusat untuk membuat pendirian, kita di negeri hanya melaksanakan apa yang diputuskan.

“Kami di negeri pun tidak bincang, tetapi kami harap perbincangan tersebut dapat berjalan dengan baik dan merangka formula yang diterima semua pihak,” katanya selepas mesyuarat Exco di kediaman rasmi Menteri Besar (JKR 10) di sini hari ini.

Sebelum ini Timbalan Presiden PAS Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu jawatankuasa teknikal Muafakat Nasional sedang meneliti formula yang akan diguna pakai dalam pengagihan kerusi.

Menurutnya langkah tersebut sebagai persediaan menghadapi PRU 15 sebelum dibawa kepada Jawatankuasa Induk Gabungan.

Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS berkata tidak dapat ditolak kemungkinan Perikatan Nasional (PN) menggunakan satu lambang yang sama pada PRU.- HARAKAHDAILY 10/6/2020

- Advertisement -