KANGAR: Mengambil kira tempoh 64 hari kekal tanpa mencatatkan penambahan kes positif baharu jangkitan Covid-19, Raja Perlis berkenan menambah bilangan maksimum jemaah di masjid.
Raja Muda Perlis Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah jumlah solat jemaah lima waktu dan solat Jumaat di masjid seluruh Perlis akan dipertingkatkan berdasarkan keluasan masjid masing-masing.
“Jumlah maksimum jemaah berkenaan seperti yang dikenal pasti Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) melalui hebahan yang bakal dibuat.
“Ia dengan mengambil kira pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) penjarakan dua meter yang ditetapkan.
“Buat masa ini, SOP jarak berkenaan akan dikekalkan dan sekiranya terdapat keperluan perubahan akan turut diperincikan dari semasa ke semasa,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut baginda juga mekanisma pemilihan jemaah akan ditentukan Jawatankuasa Kariah Masjid dengan mengambil kira lokaliti setempat sesuatu kariah.
Titah baginda jemaah yang tidak terpilih perlu akur kepada pemilihan yang dilaksanakan menurut kaedah yang diputuskan.
“Tempoh had masa bermula azan hingga selesai solat ialah 15 minit bagi solat Jumaat dan 10 minit solat lima waktu,” titah baginda.
Menurut baginda juga pelaksanaan ibadah korban dan seumpamanya dibenarkan dengan penjagaan SOP yang bakal dihebahkan nanti.
Perlis mengumumkan membenarkan solat Jumaat pada 1 Jun lalu dengan bilangan ahli jemaah terhad 30 orang, di mana keutamaan ahli jawatankuasa masjid sahaja.- HARAKAHDAILY 10/6/2020