PKPP: ‘Kita semua adalah barisan hadapan’

- Advertisement -

PERINTAH Kawalan Pergerakan Bersyarat ( PKPB ) yang berakhir semalam ternyata mengundang perasaan lega di hati kebanyakan rakyat Malaysia.

- Advertisement -

Mereka merasa bagaikan hari ini hari raya atau hari merdeka di mana mereka dapat bebas keluar rumah, balik kampung merentas negeri malahan melancong sesudah hampir tiga bulan terkurung dalam rumah.

Hakikatnya, walaupun kerajaan telah melonggarkan kawalan pergerakan mulai hari ini 10 Jun 2020 dan fasa ini yang dikenali Perintah Kawalan Pemulihan (PKPP), rakyat harus sedar, virus COVID-19 masih lagi berlegar di dalam negara kita di mana kes yang aktif adalah sejumlah 1244 .

Kes baru masih yang dilaporkan semalam ( 9 Jun 2020) sebanyak tujuh kes sewajarnya menjadi peringatan kepada seluruh rakyat untuk terus mengekalkan kewaspadaan bagi mengekang penularan wabak ini.

Apa yang menjadi kekhuatiran, perasaan teruja kerana terlepas dari perintah kawalan pergerakan mengundang rasa selamat yang melampau hingga rakyat tidak kisah tentang keselamatan diri.

Ini sebolehnya dielakkan kerana kebebasan dalam mengawal pergerakan tanpa mengikut SOP yang ditetapkan bakal mengundang gelombang baru penyakit tersebut. Nauzubilah.

Rakyat haruslah memandang kelonggaran perintah kawalan pergerakan yang bermula hari ini adalah disebabkan kerajaan yakin latihan hampir tiga bulan dan tahap kawalan pergerakan yang telah dilaksanakan bermula 18 Mac 2020 berjaya membentuk warga yang berdisiplin dan memahami SOP.

Rakyat sudah terbiasa dengan penjarakan sosial, pemakaian topeng muka, mengelakkan sentuhan ,membasuh tangan serta pemakaian sanitasi.

Umat Islam sudah tentu gembira dengan pembukaan kembali masjid. Kerajaan telah membolehkan semua surau dan masjid dibuka bagi membolehkan umat Islam menunaikan solat jumaat dan solat fardhu berjamaah.

Namun jangan dilupa untuk mengikuti SOP yang telah ditetapkan. Mereka yang berisiko termasuk warga emas yang berusia 70 tahun ke atas dan kanak-kanak di bawah umur 13 tahun haruslah mengelakkan diri dari ke kawasan yang sesak termasuk di surau dan masjid.

Dewan Muslimat PAS Malaysia amat mengharapkan semoga semua warga Malaysia dapat memahami dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan sama-samalah kita berdoa agar Malaysia khasnya dan dunia amnya dilindungi Allah dari penyakit berbahaya ini.

Sesungguhnya kita semua adalah barisan hadapan yang sama-sama perlu menjaga negara ini dari terus merebakkan penyakit dan melindungi warga Malaysia yang berisiko.

‘Islam Memimpin,Wanita Sejahtera.’

DR NAJIHATUSSALLEHAH AHMAD
Ketua Penerangan,
Dewan Muslimat PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 10/6/2020

- Advertisement -