Sesi persekolahan kelas peperiksaan awam 24 Jun

PUTRAJAYA: Kerajaan mengumumkan sesi persekolahan bagi kelas peperiksaan awam akan dibuka semula pada 24 Jun ini.

Advertisement

Menteri Kanan Pendidikan Malaysia, Dato’ Dr Radzi Jidin berkata pembukaan itu hanya melibatkan kelas-kelas peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Juga Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bagaimanapun, katanya pembukaan semula sekolah selain daripada kelas peperiksaan awam akan dilaksanakan secara berperingkat sebagaimana telah dimaklumkan sebelum ini.

Selain itu beliau turut menyedari akan kebimbangan ibu bapa terhadap anak-anak mereka apabila pembukaan semula sekolah dilaksanakan.

Dalam hal ini pihaknya berharap agar penjaga atau ibu bapa dapat memastikan bahawa anak yang sihat sahaja dihantar kesekolah.

Namun katanya, jika penjaga atau ibu bapa mendapati anak-anak mereka tidak sihat atau mempunyai gejala seperti demam, batuk, selsema, sesak nafas tidak perlu hantar ke sekolah, sebaliknya perlu membuat pemeriksaan kesihatan.

Justeru itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menyediakan garis panduan bagi pembukaan semula sekolah.

Sebelum itu beliau berkata, gerak kerja bagi penyediaan garis panduan itu telah bermula sejak April 2020.

Bagaimanapun, pihak KPM sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negaran (MKN) untuk memastikan garis panduan menepati peraturan dan keperluan yang ditetapkan oleh KKM dan MKN.

Tambah beliau, garis panduan itu terpakai buat seluruh sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi yang berdaftar di bawah KPM.

Manakala beliau turut menyerankan agar sekolah yang tidak didaftarkan di bawah KPM disarankan menggunakan garis panduan berkenaan.- HARAKAHDAILY 10/6/2020