Pemandu mabuk: Kerajaan akan ambil tindakan tegas

- Advertisement -

KERAJAAN memberi perhatian serius dan akan mengambil tindakan tegas berhubung kes kemalangan maut pengguna jalan raya membabitkan pemandu mabuk yang semakin bertambah bilangannya mutakhir ini.

Langkah segera yang akan diambil ialah memastikan cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang dimuktamadkan oleh Kementerian Pengangkutan dibawa ke persidangan Parlimen terdekat.

Antara pindaan yang dibuat bukan sahaja membabitkan peruntukan berkaitan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian, iaitu Seksyen 44 (Akta 333), tetapi juga memandu bawah pengaruh minuman yang memabukkan mengikut Seksyen 45 akta sama, walaupun tidak terlibat dalam apa-apa kemalangan.

- Advertisement -

Kerajaan juga amat menyokong cadangan Kementerian Pengangkutan untuk menetapkan hukuman penjara mandatori ke atas pemandu yang ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk (Seksyen 45) mengikut peruntukan sedia ada masih merupakan kuasa budi bicara (discretionary power) mahkamah.

Dengan meningkatkan kadar denda dan hukuman penjara, Jabatan Peguam Negara, selepas pindaan dibuat, boleh mendakwa pesalah di Mahkamah Sesyen yang mempunyai bidang kuasa yang lebih tinggi.

Sebagai langkah pencegahan (deterrent), pihak kerajaan akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara supaya kes yang melibatkan kematian angkara pemandu mabuk turut disiasat dan dituduh mengikut Kanun Keseksaan, termasuk Seksyen 302, iaitu menyebabkan kematian dengan sengaja ataupun Seksyen 307, iaitu cubaan membunuh dengan niat.

Di samping itu, pihak polis juga perlu membantu keluarga mangsa kemalangan maut akibat pemandu mabuk, terutama bagi membolehkan mereka membuat tuntutan sivil di mahkamah sebagai hak mereka di sisi undang-undang.

Meskipun kerajaan bertegas dalam isu kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk, ia tidak bermakna kerajaan menafikan hak orang bukan Islam untuk meminum minuman keras. Mereka bebas berbuat demikian, selagi mematuhi segala peruntukan undang-undang yang berkaitan dengannya.

DATO’ TAKIYUDDIN HAJI HASSAN
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Parlimen dan Undang-Undang)
29 Mei 2020- HARAKAHDAILY 29/5/2020

- Advertisement -