Singgah Sahur MP Jerai, PERTisk mesrai ‘frontliners’

- Advertisement -

JERAI: Barisan hadapan negara telah menzahirkan komitmen dan pengorbanan tertinggi dalam memerangi pandemik COVID-19 yang amat berisiko dengan melaksanakan tugas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

- Advertisement -

Walaupun Ramadan sudah dipenghujungnya, Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Sabri Azit tetap mahu menzahirkan penghargaan kepada para pejuang negara ini menerusi program Singgah Sahur yang diadakan di beberapa premis dalam Parlimen ini, awal pagi kelmarin.

Program yang diadakan dengan kerjasama Pertubuhan Insan Sayang Kebajikan Malaysia (PERTisk) ini telah menyampaikan sumbangan berupa juadah sahur dengan diiringi sama Timbalan Presiden PERTisk, Fathiyah Md Yusop.

Mereka telah singgah ke Hospital Yan, Ibu Pejabat Polis Daerah Yan, Balai Bomba dan Penyelamat Yan dan Guar Chempedak, Pusat Operasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Balai Polis Guar Chempedak, Bedong dan Jeniang, serta Sekatan Jalan Raya Tol Gurun.

Ustaz Azit berkata, para anggota bertugas telah menunjukkan dedikasi dan kesabaran mereka melaksanakan arahan di bawah PKP diikuti rakyat demi memastikan rantaian COVID-19 yang melanda negara serta juga dunia dapat diputuskan.

Sementara Fathiyah pula berharap sumbangan dan kemesraan terhadap para petugas tersebut dapat meningkatkan motivasi mereka yang sememangnya sangat dihargai oleh rakyat Malaysia. – HARAKAHDAILY 23/5/2020

- Advertisement -