Covid-19: Dua kematian dilaporkan hari ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebanyak 58 kes sudah sembuh jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini dan menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 5,281 atau 77.9 peratus daripada keseluruhan kes.

Hingga jam 12 tengah hari tadi, sebanyak 37 kes baharu dilaporkan iaitu 21 kes dari bukan warganegara, 4 kes import dan selebihnya dari penularan tempatan yang dikesan dari kluster.

Tujuh kluster Covid-19 yang masih aktif adalah kluster Pedas seramai (20 kes baharu), Madrasah Solok Duku (2), IPT Sabah (2), Benys (1), Pesantren (1), Selangor Mansion (1) dan Sendayan (1).

- Advertisement -

Seperti semalam, tiada pertambahan kes baharu Covid-19 di tiga kluster lain dan pada hari ini termasuk kluster PKPD terbaharu iaitu Kawasan Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya.

Ketua Pengarah Kesihatan Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan pertambahan jumlah kes baharu itu ia menjadikan jumlah kes positif Covid-19 sebanyak 6,779 kes.

Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 1,387 kes.

Dalam pada itu Noor Hisham turut memaklumkan hari ini terdapat dua kematian baharu menjadikan kes kematian Covid-19 sebanyak 111 kes atau 1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Hingga kini, ada 16 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 4 kes memerlukan bantuan pernafasan.- HARAKAHDAILY 13/5/2020

- Advertisement -