Tindakan tegas jika naik harga barang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan tegas akan dikenakan kepada peniaga sama ada peringkat pengeluar, pengilang, pemborong mahupun peruncit yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga barangan secara mendadak.

Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan tersebut bagi membendung sikap tidak bertanggungjawab dalam kalangan peniaga yang menaikkan harga barang.

- Advertisement -

Ismail Sabri berkata, semalam, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menjalankan pemantauan harian terhadap 25 jenis bekalan di 1,007 premis perniagaan, termasuk 787 peruncit, 189 pemborong dan 31 pengilang.

Menurutnya, bekalan barangan keperluan harian secara keseluruhannya mencukupi dan mampu menampung permintaan dalam negara secara berterusan serta mudah diperolehi.

“Sebanyak 20,572 aduan dan pertanyaan diterima bermula 18 Mac sehingga 12 Mei 2020 melalui empat saluran utama iaitu aplikasi WhatsApp dengan merekodkan 9,152 aduan pertanyaan yang diterima sepanjang tempoh berkenaan.

“Manakala sistem E-aduan (7,086), talian hotline (3,129) dan Pusat Kawalan Penguatkuasaan (1,205). Sejumlah 2,851 aduan harga dan bekalan telah direkodkan untuk tindakan bahagian penguat kuasa melalui sistem E-aduan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Ismail Sabri turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bimbang dengan bekalan makanan dan keperluan harian sepanjang Ramadan kerana dijamin mencukupi.

“Kerajaan sekali lagi ingin menasihati orang ramai supaya sentiasa mengamalkan penjarakan sosial dan kebersihan diri ketika keluar membeli barangan keperluan asas.

“Selain itu diingatkan supaya tidak membawa anak kecil dan ibu bapa terutama warga emas, keluar rumah jika tiada keperluan kerana mereka berdepan risiko tinggi jangkitan,” katanya.- HARAKAHDAILY 13/5/2020

- Advertisement -