Kekang Covid: MOSTI laksana pelbagai Inisiatif

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi membantu negara ketika berdepan ancaman dan cabaran akibat wabak Covid-19.

Timbalan Menteri MOSTI Ahmad Amzad Hashim berkata, antaranya mengadakan kerjasama strategi dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan ujian saringan Covid-19.

- Advertisement -

Selain itu katanya, MOSTI turut bekerjasama dengan Makmal Awam Kesihatan Kebangsaan (MKAK), Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), dan KKM untuk menjalankan penjujukan keseluruhan genom terhadap sampel-sampel Covid-19.

Jelasnya, langkah itu bertujuan untuk membangunkan data jujukan genom asid ribonukleik (RNA) lengkap yang boleh dipadankan untuk hubungkait dengan strain Covid-19 yang dikesan di dalam dan luar negara.

Tambah Ahmad Amzad kementeriannya juga telah menyelaraskan makmal diagnostik saringan dan pengesahan Covid-19 bagi meningkatkan kapasiti makmal yang terbabit dalam pengesanan virus.

Manakala, sebanyak 10 makmal diagnostik telah bergerak aktif menjalankan ujian saringan Covid-19 bermula sejak 30 Mac yang lalu.

Lapan unit Covid-19 Screening Booths yang menggunakan teknologi nano-coating nyah kuman telah dipasang di beberapa hospital dan pusat kesihatan daerah.

“Jabatan Kimia Malaysia turut menyediakan khidmat sokongan dari pelbagai sudut kepakaran kepada Kementerian dan Agensi berkaitan seperti penempatan pegawai pakar KIMIA Malaysia di Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh.

“Penghasilan face shields serta sumbangan kelengkapan PPE untuk kegunaan frontliner dan bantuan sokongan teknikal dalam kerja-kerja penyediaan larutan bagi tujuan sanitasi awam,” katanya dalam persidangan Dewan Rakyat, sesi pagi, hari ini.

MOSTI telah menjalinkan kerjasama strategik dengan beberapa Kementerian seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan sebagainya.

Turut dibangunkan pusat maklumat Covid-19 (MyC19) bagi penjejakan kontak dan analisis sentimen melalui sistem analisis teks berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahmad Fadhli Shaari (PAS – Pasir Mas) berhubung peranan dan usaha yang dilakukan oleh MOSTI terhadap negara ketika berdepan Covid-19. – HARAKAHDAILY 4/8/2020

- Advertisement -