Vaksin: Daftar secara manual juga penting – Menteri

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU: Kerajaan menyasarkan 1.2 juta rakyat Kelantan mendapat suntikan vaksin sepenuhnya menjelang Oktober di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, bekalan vaksin sebanyak 550,000 dos akan dibawa ke negeri itu pada Julai ini bagi meningkatkan kadar suntikan.

Dengan peningkatan kadar vaksinasi itu, beliau yakin komuniti kelompok dapat dicapai dengan cemerlang.

- Advertisement -

Katanya beliau juga optimis sasaran di Kelantan untuk memberi suntikan sebanyak 30,000 sehari kepada anggota masyarakat akan tercapai.

Malah, beliau turut menyokong langkah yang dilakukan Kerajaan Kelantan memperhebatkan Program Outreach Vaksinasi Covid-19 dalam usaha membantu penduduk luar bandar mendapat suntikan vaksin.

“Jadi program Program Outreach Vaksinasi Covid-19 dan pendaftaran secara manual sangat penting terutama buat mereka yang belum berdaftar melalui MySejahtera.

“Saya melihat perkembagan imunisasi Negeri Kelantan adalah positif dan baik dengan kadar suntikan harian yang meningkat serta mampu mencapai 12,000 sehari,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Covid-19 Immunisation Task Force (CITF) peringkat kebangsaan dan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi juga berkata, sebanyak 42 peratus rakyat Kelantan daripada golongan dewasa telah berdaftar menerima suntikan.

Manakala kata beliau, kira-kira 58 peratus yang masih belum berdaftar. – HARAKAHDAILY 17/6/2021

- Advertisement -