JPM bantu mahasiswa UKM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Dato’ Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyumbang RM10,000 kepada Musa’adah Siswa Khas Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang terkesan akibat gelombang terbaharu Covid-19.

Yang Dipertua YADIM, Ustaz Nasrudin Hasan berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut serta menyumbangkan sebanyak RM5,000 sebagai bantuan awal kepada kira kira 200 mahasiswa yang majoritinya baru mendaftar di universiti itu.

- Advertisement -

Katanya, bantuan yang diberikan itu adalah sebagai usaha bagi meringankan beban pelajar UKM yang diselaraskan oleh rakan siswa YADIM UKM.

“Baru-baru ini, timbul keresahan di kalangan mahasiswa di seluruh negara apabila kebanyakan Universiti membatalkan pendaftaran pelajar bagi membendung Covid-19.

“YADIM bukan satu institusi asing kepada UKM, kerana ia memiliki pertubuhan pelajar antara yang paling aktif di universiti itu,” ujarnya pada satu hantaran yang dimuat naik di akaun media sosialnya semalam.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Prof Ir Dato’ Dr Othman A Karim, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Akhbar Samon dan Pengurus Baitulmal, Talmizi Yahya.

Hadir sama ialah Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar UKM, Dr Suhaimi Mohamad dan Yang Dipertua Kesatuan Mahasiswa UKM, Muhammad Akmal Hakim serta pegawai-pegawai kepimpinan muda YADIM.

Dalam pada itu katanya, Dato’ Dr Zulkifli turut meluangkan masa menziarahi pelajar UKM di Kolej Dato’ Onn selepas selesai program.

Terdahulu, Dato’ Dr Othman dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan YADIM atas tindakan pantas menyantuni pelajar universiti itu. – HARAKAHDAILY 5/10/2020

- Advertisement -