Rebut kuasa vs perangi Covid-19: Mana lebih utama?

- Advertisement -

SAYA masih ingat dalam salah satu kuliah yang disampaikan oleh Tuan Guru Zulkifli Ismail, Ketua Dewan Ulamak PAS Melaka, di mana beliau menyebut “Wajibul Wakti” iaitu keutamaan yang harus didahulukan apabila bertembung dua ‘maslaha’ dalam waktu yang sama.

- Advertisement -

Beliau memberikan contoh bila azan berkumandang sedangkan kita masih melakukan aktivi seharian, maka kewajiban ketika itu adalah menjawab seruan azan tersebut.

Ini suatu disiplin dan akhlak yang diajarkan di dalam Islam iaitu harus tahu yang mana satu perlu diutamakan apabila kita berhadapan dengan dua ‘maslaha’.

Dunia hari ini sedang dilanda wabak Covid-19 yang telah mengorbakan ratusan ribu nyawa dan lebih dari 4 juta orang telah dijangkiti di seluruh dunia.

Wabak ini bukan sekadar memberikan kesan kepada kesihatan tetapi yang lebih besar dari itu kesan kepada ekonomi dan sosial yang menyebabkan fenomena hilang perkerjaan kesan dari terhentinya kegiatan ekonomi dan akhirnya akan menjurus kepada masalah kelaparan dan masalah-masalah lainnya yang berkaitan.

Dalam suasana rakyat Malaysia bersatu hati berpadu tenaga memerangi Covid-19, tiba-tiba dikejutkan dengan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin yang akan dibawa ke Parlimen. Gilakah?

Sedarkah mereka bahawa rakyat sedang menderita menghadapi kesan Covid-19 yang tidak tahu bila akan berakhirnya? Rakyat sedang bertungkus lumus dan ada yang mengeluarkan wang peribadi demi untuk melihat tetangga atau warga sekampung atau setaman dari menderita kelaparan.

Ramai juga dalam kalangan rakyat Malaysia yang membentuk organisasi dan petugas sukrelawan untuk membuat alat pelindung diri ( PPE ) dan memberikanya kepada frontliner tanpa minta dibayar atau sanjungan. Inilah ‘mood‘ rakyat hari ini, rakyat tahu keutamaan adalah memerangi Covid-19.

Tidak hairan apabila negara dikejutkan dengan keinginan seseorang untuk merubah kerajaan melalui undi tidak percaya dan diterima pula oleh Speaker Dewan maka ramai dalam kalangan rakyat berkata “Gila kah?” Iya, memang gila, iaitu gila kuasa dan mabuk jawatan.

Mereka ini harus ditolak, apabila seseorang pemimpin yang lebih mengutamakan pangkat, kuasa dan jawatan di saat rakyatnya bertarung nyawa serta bergelumang dengan wabak yang melanda, kekurangan barang makan, hilang pendapatan dan berbagai-bagai lagi.

Teringat sekali lagi ucapan guru saya Tuan Guru Zulkifli Ismail, bahawa apa yang mereka lakukan sebenarnya mereka mendedahkan dan menunjukkan diri mereka yang sebenar.

Walaupun ucapan ini beliau sebut sewaktu Kuliah Dhuha di beranda rumahnya belasan tahun yang lalu, baru sekaranglah saya dapat memahami dan melihat dengan mata kasar apa yang pernah diucapkan oleh guru saya dahulu.

Benar sekali, mereka sedang menunjukkan siapa diri mereka sebenar samada berpolitik untuk membela rakyat atau berpolitik untuk kepentingan peribadi.

Memang apa yang berlaku hari ini menjadi barometer atau kayu ukur untuk rakyat menilai dan mengukur kejujuran mereka yang mereka pamerkan sendiri.

Tidak dinafikan bahawa kuasa adalah penting untuk membela nasib rakyat melalui pembentukan kerajaan atas mandat rakyat dan membuat polisi-polisi yang meletak ‘maslaha’ rakyat sebagai keutamaan.

Tetapi bila pemimpian yang tidak dapat memahami prinsip keutamaan antara kuasa dan kesusahan yang sedang dihadapi rakyat maka mereka ini tidak sesuai diangkat menjadi pemimpin negara.

Rakyat Malaysia harus bijak menilai dan membuat keputusan dalam memberikan kuasa pemerintahan agar hak-hak rakyat dan ‘masalaha ummah’ tidak mengira kaum dan agama menjadi prioriti kerajaan yang dipilh dan bukan sebaliknya.

BAKRI JAMALUDIN
Ketua Penerangan PAS Melaka
YDP PAS Tangga Batu. – HARAKAHDAILY 10/5/2020

- Advertisement -