Salam Nuzul Al-Quran 1441H

- Advertisement -

PERUTUSAN Khas Dewan Ulamak PAS Pusat

- Advertisement -

Firman Allah SWT :

وَٱلۡكِتَـٰبِ ٱلۡمُبِینِ * إِنَّاۤ أَنزَلۡنَـٰهُ فِی لَیۡلَةࣲ مُّبَـٰرَكَةٍۚ إِنَّا كُنَّا مُنذِرِینَ

Maksudnya :
Demi (al-Quran) Kitab yang menerangkan kebenaran. Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran. – [Surah ad-Dukhan 2 – 3]

Al-Quran yang merupakan Kalam Ilahi adalah satu-satunya mukjizat yang berkekalan sehingga hari Kiamat. Ia menjadi panduan dalam kehidupan manusia sama ada secara individu, rumah tangga, masyarakat malah negara.

Penurunan al-Quran adalah bertujuan memberikan petunjuk dan bimbingan agar manusia mengenal dan tahu membeza antara yang haq dan batil.

Dengan itu, manusia yang beriman dan celik hatinya, akan terus bersama yang haq kerana ia satu-satunya jalan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Sebagai umat Islam, kita wajib meyakini al-Quran secara teguh dan menjauhi sebarang keraguan yang dibuat ke atasnya oleh pihak musuh. Antara perancangan musuh ialah :

  1. Menimbulkan keraguan terhadap al-Quran dengan cuba mengubah isi kandungannya.
  2. Menjauhkan umat Islam dari menghayati dan mengamalkan.

Al-Quran tidak akan berjaya dirubah dan diselewengkan. Ini kerana janji Allah akan memelihara al-Quran. Inilah keistimewaan dan kehebatan al-Quran sekalipun telah lebih 1000 tahun, al-Quran masih terpelihara dan tulen.

Firman Allah SWT :

إِنَّا نَحۡنُ نَزَّلۡنَا ٱلذِّكۡرَ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَـٰفِظُونَ

Maksudnya :
Sesungguhnya Kami yang menurunkan al-Quran, dan Kami yang memelihara dan menjaganya. – [Surah Al-Hijr 9]

Tugas kita adalah menjadikan manusia faham dan celik al-Quran. Amat malang jika manusia “buta al-Quran” kerana ia membawa kepada kesesatan yang mengakibatkan penyesalan di akhirat kelak.

Umat yang celik al-Quran adalah umat yang meyakini janji Allah dan bersama dengan perjuangan Islam. Umat yang celik al-Quran ialah memiliki kriteria :

  1. Beriman dengan al-Quran.
  2. Rajin membaca al-Quran.
  3. Melazimi usaha mempelajari kandungan al-Quran.
  4. Istiqamah dalam melaksanakan ajaran al-Quran.
  5. Mujahadah dalam menyebarkan al-Quran.

Dalam menyelesaikan sebarang permasalahan yang berlaku termasuklah pada peringkat pentadbiran negara, pengurusan ekonomi, pembinaan sosial, kelestarian budaya dan sebagainya, al-Quran merupakan tunjang dan dasar dalam memastikan kajian dipasak dengan nilai agama.

Sejarah Negara Islam pertama yang dibina di Madinah membuktikan Perlembagaan yang berakidahkan al-Quran dan al-Sunnahbadalah solusi dalam setiap permasalahan yang berlaku.

Benarlah pesanan Rasulullah SAW menerusi sabdaan :

تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Maksudnya: Aku telah tinggalkan buat kalian dua perkara yang kalian tidak akan sesat selama-lamanya selagi mana kalian berpegang pada keduanya iaitu kitab Allah dan sunnah nabi-Nya. – riwayat Imam Malik

Di kesempatan ini, Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengucapkan selamat menyambut dan menghayati Hari Nuzul al-Quran yang disambut pada 17 Ramadan setiap tahun kepada semua muslimin dan muslimat. Marilah kita menjadikan al-Quran sebagai Perlembagaan dalam setiap urusan kehidupan kita.

Sekian.

YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Malaysia (Pasir Puteh) – HARAKAHDAILY 10/5/2020

- Advertisement -