Kronologi penurunan al-Quran hingga al-Fatihah

- Advertisement -

AL-QURAN diwahyukan oleh malaikat yang paling utama iaitu Jibril, kepada insan yang termulia, Muhammad S.A.W. Ia diturunkan sebagai tanggungjawab kepada umat terbaik, di sebaik-baik malam iaitul Lailatulqadar pada bulan Ramadan yang merupakan semulia-mulia bulan.

Ternyata apa-apa yang terkait dengan al-Quran, pasti dimuliakan oleh Allah. Sempena memperingati Nuzul al-Quran, marilah kita mengulang kaji akan kronologi penurunan wahyu tersebut.

Ia dapat membantu kita untuk mendapatkan gambaran sebenar. Bagaimana bermulanya perjuangan jihad dan dakwah yang dilangsungkan oleh Baginda Nabi.

- Advertisement -

Tidak puas hati dengan kedangkalan jahiliyyah

Syeikh Mubarakfuri di dalam kitabnya al-Rahiq al-Makhtum menceritakan saat umur Nabi menjelang 40 tahun, dorongan protes Baginda terhadap cara beragama kaumnya yang dangkal semakin kuat. Bagi Nabi, agama mereka tidak masuk akal dan tidak manusiawi sama sekali.

Disebabkan itu Nabi tidak pernah turut serta dalam agama syirik masyarakatnya, kerana awal-awal lagi Baginda telah menganggapnya sebagai karut. Protes dalaman yang dialami itu, mendorong Nabi mencari ketenangan dalam rangka mendapatkan jawapan hidup yang pasti.

Lantas Nabi pergi beruzlah ke gua Hira’, dengan sokongan isterinya yang tercinta, Khadijah. Uzlah tersebut berlangsung selama 3 tahun. Nabi menumpukan sesi uzlah terutamanya pada setiap bulan Ramadan sepanjang tempoh 3 tahun tersebut.

Dalam tempoh itu juga, Nabi sering mengalami mimpi yang baik. Baginda melihat cahaya cerah yang indah seperti terbitnya matahari di waktu pagi.

40 tahun yang signifikan

Seperti para Nabi yang terdahulu, Baginda dilantik sebagai utusan Allah ketika umurnya menjelang 40 tahun. Tempoh itu adalah usia ideal bagi manusia kerana memiliki kematangan berfikir serta kekuatan fizikal.

Maka pada hari Isnin 11 Ogos 610 bersamaan tanggal 21 Ramadan, Jibril turun membawa wahyu sulung buat Baginda. Ketika itu umur Nabi tepat 40 tahun dengan kiraan kalendar bulan. Sementara jika dikira menurut kalendar matahari, umur Nabi adalah 39 tahun, 3 bulan dan 20 hari.

Pewartaan awal memerangi jahiliyyah

Jibril datang ke gua Hira’ memeluk Nabi dengan kuat, menyuruh Baginda agar membaca. Setelah 3 kali Nabi menyatakan bahawa dirinya tidak boleh membaca, lantas Jibril membacakan surah al-‘Alaq dari ayat pertama hingga kelima.

Wahyu awal itu sarat mengandungi mesej penting bahawa Islam merupakan agama ilmu. Ia sebagai sanggahan kepada budaya kebodohan dalam beragama yang dianut oleh manusia.

Agama karut yang dimaksudkan adalah, ia dianut tanpa hujah, tanpa akal, tanpa ilmu pengetahuan, tanpa dialog, bahkan tanpa meraikan fitrah manusiawi. Disebabkan itu wahyu awal, Allah terlebih dahulu memperbetulkan minda manusia bahawa dalam beragama itu memerlukan ilmu.

Kerap kali Syeikh al-Qaradhawi menegaskan bahawa Islam merupakan agama ilmu. Bahkan Syeikh Abdul Rahman Hasan Habannakah menyatakan bahawa cara beragama yang benar pasti akan mendorong kita ke arah ilmu. Sementara ilmu yang benar pasti akan memimpin kita bertemu dengan Islam.

Budaya ilmu

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ • خَلَقَ الْإِنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ • اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ • الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ • عَلَّمَ الْإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ •

“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmu yang paling mulia. Dialah yang mengilmukan (manusia) dengan pena. Dia mengilmukan manusia pada perkara yang belum mereka ketahui.”

(al-‘Alaq: 1-5)

Dalam bahagian wahyu awal ini, Allah mengulangi perintah membaca sebanyak 2 kali. Sementara kalimah yang berkata akar ilmu, diulang sebanyak 3 kali. Pena sebagai alat ilmu, disebut sekali.

Dengan perhitungan seperti di atas, sangat aneh jika ada dalam kalangan umat Islam yang sangat fobia terhadap amalan membaca. Bahkan ada yang menganggap kononnya Islam boleh dianut tanpa ilmu, cukup dengan ikut-ikutan sahaja tanpa hujah. Ternyata doktrin tersebut bukanlah dari aspirasi Islam.

Allah memerintahkan kita agar banyakkan membaca agar semakin mengenali pencipta. Selain membaca buku, kita turut disuruh membaca alam yang turut merupakan ayat kauniyyah Allah.

Surah ini juga membawa mesej, semakin meneroka ilmu sepatutnya semakin tunduk dan sedar diri akan asal-usul kita sebagai manusia yang dicipta dari gumpalan yang kotor. Allah menyuruh agar kita kuat membaca dan ilmu sebagai penyuluh untuk kita beragama dengan cara yang betul.

Suruhan membaca didahulukan, kemudian barulah Allah sebutkan peranan pena. Begitu juga tertib surah membaca terlebih dahulu, kemudian baru diturunkan surah al-Qalam yang bermaksud pena.

Isteri sebagai motivator

Setelah memperolehi surah al-‘Alaq dari ayat pertama hingga kelima, Nabi bergegas turun dari gua Hira’ pulang ke rumah mengadu kepada isterinya Khadijah. Ternyata wanita mulia itu memiliki akal budi yang sangat tinggi. Beliau menenangkan Nabi dengan kalam yang menyejukkan hati:

“Allah tidak akan persiakan kamu.”

Khadijah menyenaraikan kebaikan-kebaikan Nabi selama ini dan betapa suaminya itu adalah insan yang amat bersungguh mencari kebenaran. Baginya, mustahil Tuhan ingin mencelakakan orang yang sebaik itu.

Pelajaran yang cukup penting, adakalanya pujian sangat berharga untuk orang yang sedang merasa tertekan. Bukan untuk membodek secara palsu, tetapi motivasi tulus agar dia kembali menghargai diri sendiri.

Pengakuan dari pendeta

Lantas Khadijah membawa Nabi bertemu dengan bapa saudaranya yang bernama Waraqah Bin Naufal. Beliau seorang pendeta yang jujur, matanya buta kerana tersangat tua. Waraqah sangat ternanti-nanti kedatangan Nabi akhir zaman.

Setelah diceritakan apa yang dialami oleh Nabi, Waraqah menyatakan berita gembira:

“Itulah Namus (nama lain bagi Jibril) yang diturunkan oleh Allah kepada Musa. Alangkah baiknya kalau aku masih muda. Alangkah baiknya jika aku masih hidup ketika kaummu mengusirmu. Tidak seorang pun yang membawa ajaran sepertimu melainkan dia bakal dimusuhi. Kalaulah aku masih ada saat engkau mengalami tekanan tersebut, pasti aku akan tolong engkau dengan bersungguh-sungguh.”

Perkhabaran iman tersebut sangat mengharukan. Alangkah jujurnya Waraqah. Namun tidak lama selepas itu, Waraqah pun meninggal dunia. Lantas wahyu pun terhenti buat seketika.

Berikanlah masa kepada Nabi

Ada pandangan yang menyatakan wahyu terhenti selama 40 hari. Ibnu Hajar al-‘Asqalani mengulas bahawa ia bertujuan untuk menghilangkan kegerunan yang menimpa Nabi.

Pada masa yang sama untuk merangsang rasa keinginan dan kerinduan Baginda agar penurunan wahyu berulang kembali. Diriwayatkan oleh Imam Bukhari, saat terhentinya wahyu dalam tempoh yang lama menyebabkan Baginda sangat berdukacita.

Sehingga Nabi cuba terjun dari puncak bukit yang tinggi. Tatkala itu, muncullah Jibril menenangkan Nabi dengan perkhabaran bahawa Baginda merupakan Rasulullah yang sebenar. Lantas Nabi pun kembali tenang.

“Selimutkan daku, selubungkan daku.”

Dalam riwayat Bukhari dan Muslim menceritakan ketika Nabi berjalan, Baginda mendengar suara dari langit. Setelah mendongak, didapati Jibril dengan rupa yang amat besar sedang duduk di atas kerusi antara langit dan bumi.

Nabi terduduk kegerunan lalu segera pulang mendapatkan Khadijah. Baginda meminta kepada isterinya:

زملوني زملوني دثروني دثروني

“Selimutkan daku, selimutkan daku. Selubungkan daku, selubungkan daku.”

Rupa-rupanya kehadiran Jibril ketika itu untuk melangsungkan penurunan wahyu yang sudah sekian lama terhenti. Maka turunlah surah al-Muddatthir dari ayat pertama hingga ketujuh sebagai mandat agar Nabi berdepan dengan kaumnya.

Bangkitlah dan berikan ancaman!

يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ • قُمْ فَأَنْذِرْ • وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ • وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ • وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ • وَلَا تَمْنُنْ تَسْتَكْثِرُ • وَلِرَبِّكَ فَاصْبِرْ

“Wahai orang yang sedang berselubung. Bangkit dan berikanlah peringatan. Dan agungkanlah Tuhanmu. Dan bersihkanlah pakaianmu. Dan tinggalkanlah perbuatan yang keji. Dan janganlah kamu menyumbangkan sesuatu untuk mendapat pulangan yang lebih banyak. Dan kerana Tuhanmu, bersabarlah.”

(al-Muddatthir: 1-7)

Syeikh Abdul Rahman Habannakah menjelaskan permulaan surah al-Muddathhir adalah sebagai perintah agar Nabi keluar berdakwah. Langsungkanlah tugas mulia itu dengan syarahan penuh dalil dan berunsurkan dialog yang meyakinkan manusia.

Saat masyarakat yang amat tebal jahiliyyahnya, memang perlu dikenakan gegaran peringatan. Ancamlah dengan akibat yang menanti di akhirat. Selepas sampaikan peringatan dan ancaman, Nabi pasti akan berdepan kekuasaan manusia. Ingatlah Allah yang Maha Besar.

Bina imej yang baik dengan berpakaian kemas. Pada masa yang sama menjadi contoh buat manusia dengan meninggalkan kekejian. Jangan mengemis, mengharapkan untung nasib dengan manusia. Sabarlah wahai utusan Allah.

Bina kekuatan dalaman

Lanjutan dari itu, Jibril terus menyampaikan surah al-Muzzammil dari ayat pertama hingga ayat kelima. Ia sebagai pesanan untuk Nabi agar mempersiapkan kekuatan jiwa untuk berdepan dengan kedegilan manusia.

يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ • قُمِ اللَّيْلَ إِلَّا قَلِيلًا • نِصْفَهُ أَوِ انْقُصْ مِنْهُ قَلِيلًا • أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا • إِنَّا سَنُلْقِي عَلَيْكَ قَوْلًا ثَقِيلً

“Wahai orang yang berselimut. Bangunlah pada waktu malam sekalipun kecil. Separuhnya atau kurang sedikit dari itu. Atau lebih dari itu dan bacalah al-Quran dengan betul. Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu yang berat.”

(al-Muzzammil: 1-5)

Nabi diingatkan bahawa bebanan risalah dakwah sangat berat. Setelah Baginda mula berdepan dengan kesukaran dalam berdakwah, Baginda diprogramkan oleh Allah berupa sesi pengukuhan jiwa.

Ia juga sebagai sesi menyembuhkan luka perasaan akibat tribulasi dalam berdakwah. Wahyu kali ini jelas sebagai suruhan agar Nabi menjalinkan hubungan eksklusif dengan Allah.

Adukanlah segala masalah kepada Allah di waktu malam yang sunyi. Waktu tengah malam tersebut bukan hanya sunyi dan tenang, bahkan dapat membina jiwa yang solid ikhlas kepada Allah kerana saat itu bebas dari perhatian mata manusia.

Seterusnya Allah menyuruh Nabi agar hidup dengan al-Quran. Bermula dengan membacanya, memahami dan mengambil pedoman dari kitab Allah itu.

Pujukan motivasi dari langit

Saban hari, tekanan yang dihadapi oleh Nabi semakin dahsyat. Orang-orang tua, pembesar-pembesar dan masyarakat sedarah daging melancarkan penentangan terhadap Baginda.

Nabi dicemuh dan diejek sebagai gila. Jiwa Baginda sebagai manusia amat memerlukan pujukan mesra dari langit. Lantas Allah turunkan surah al-Qalam dari ayat pertama hingga ayat 16:

ن وَالْقَلَمِ وَمَا يَسْطُرُونَ • مَا أَنْتَ بِنِعْمَةِ رَبِّكَ بِمَجْنُونٍ • وَإِنَّ لَكَ لَأَجْرًا غَيْرَ مَمْنُونٍ • وَإِنَّكَ لَعَلَى خُلُقٍ عَظِيم

“Nun, demi pena dan apa yang mereka tuliskan. Dengan kurniaan Tuhanmu, kamu bukanlah orang gila. Dan sesungguhnya kamu pasti mendapat pahala yang tidak putus-putus. Sesungguhnya kamu benar-benar memiliki budi pekerti yang sungguh mulia.”

(al-Qalam: 1-4)

Jika kita menjiwai apa yang dialami oleh Nabi, kemudian kita membaca surah al-Qalam, pasti ia amat menyentuh perasaan kita. Unsur pujukan penuh santun dari Allah sangat kuat dirasakan dari surah ini.

Syeikh Abdul Rahman Habannakah merumuskan tujuan surah ini diturunkan adalah untuk mengingatkan janji baik buat Nabi. Sekali gus pengiktirafan terhadap akhlak mulia Baginda.

Allah bela Nabi dengan menafikan segala ejeken dan fitnah kaum Musyrikin. Allah menyatakan segala kebaikan-kebaikan Nabi dan Allah mengungkit segala kejahatan-kejahatan musuhnya.

Lantas Allah bertanya apakah logik insan yang memiliki budi perketi luhur seumpama Baginda dituduh gila? Allah menyuruh Nabi agar kukuhkan jati diri, jangan terkesan dengan kelancangan puak-puak celaka.

Jangan sama sekali ikut perangai jelek mereka. Sesiapa yang sedang mengalami kedukaan dalam jalan dakwah, bacalah surah al-Qalam. Ia sangat meresap kedukaan yang dialami dan menyebabkan datang perasaan bahawa Allah sangat intim dengan kita.

Istiqamah dengan Islam

Setelah kronologi di atas, barulah Allah turunkan surah al-Fatihah yang digelar sebagai ibu kepada al-Kitab. Allah mengingatkan bahawa hanya Islam yang memiliki nilai di hari akhirat. Selain darinya, tiada nilai.

Di dalam surah al-Fatihah, terkandung perintah agar memberi komitmen iman dan pergantungan penuh dengan Allah. Begitu juga doa agar istiqamah di jalan Islam yang lurus serta menjauhi kedangkalan cara beragama Yahudi dan Nasrani.

Menjiwai jalan Nabi dan menikmati al-Quran

Penulis tidak mahu melanjutkan perbahasan khilaf dalam kalangan ulamak berkenaan tertib penurunan surah. Sememangnya ada pelbagai riwayat.

Cuma motif tulisan ini adalah untuk kita berusaha menjiwai realiti yang dihadapi oleh Nabi. Bagaimana Baginda menjalinkan interaksi dengan kalam Allah sebagai bekalan hidup dan ia perlu dicontohi oleh kita selaku umatnya.

Dengan menjiwai perkara ini, dapat menyuburkan kasih kita kepada Nabi dan merangsang kita agar segera mencapai al-Quran. Menikmati al-Quran dengan mengambil pedoman darinya.

Kronologi ini juga membuatkan kita kasih dengan Ummul Mu’minin, Khadijah Binti Khuwailid. Begitu juga peranan dan ikrar agamawan yang jujur, Waraqah Bin Naufal.

Semoga kita benar-benar menjadi umat yang menghargai pengorbanan Baginda. Wahai Allah, sampaikanlah rindu kami kepada Nabi dengan selawat dan salam kami kepada Baginda.

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

USTAZ ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD – HARAKAHDAILY 8/5/2020

- Advertisement -