PH terus bersandiwara demi kuasa

- Advertisement -

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) menyifatkan Pakatan Harapan (PH) terus bersandiwara dalam mencapai matlamat mereka untuk menguasai pemerintahan negara.

Dalam siri-siri kenyataan PH sama ada melalui tulisan dan ucapan, PH mendesak untuk dilanjutkan sidang parlimen seperti biasa atas dasar demokrasi yang diamalkan negara. Ia telah mendapat respon daripada menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) bahawa sidang parlimen akan diadakan selama satu hari sahaja atas faktor keutamaan pengurusan wabak COVID-19 pada ketika ini.

- Advertisement -

Bukti PH bersandiwara dapat dilihat bermula dengan desakan mengadakan sidang parlimen bagi membahaskan pelan rangsangan ekonomi COVID-19, kemudian mendesak untuk membahaskan dan meluluskan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), seterusnya desakan bagi membincangkan pelan keluar bagi suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Semuanya berkaitan COVID-19.

Namun, 7 Mei 2020 terserlah agenda sebenar mereka untuk membawa usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan menyatakan bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad mempunyai suara majoriti di parlimen.

Tambahan, prestasi memberangsangkan Kerajaan Perikatan Nasional menguruskan negara menghadapi cabaran getir COVID-19 diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjadi igauan barisan pembangkang.

PAS menasihatkan agar PH memberikan kerjasama kepada kerajaan bagi menguruskan wabak COVID-19 dengan berkhidmat sebaiknya dalam parlimen / DUN masing-masing serta mengawal pergerakan yang melibatkan rentas negeri dan mengelakkan aktiviti perkumpulan orang ramai.

PAS juga berpendirian bahawa usul yang dikemukakan wakil PH tersebut bercanggah dengan perkara 43 Perlembagaan Persekutuan yang mempertikai kuasa Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dalam urusan pelantikan Perdana Menteri.

‘Islam Memimpin Perpaduan’

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
8 Mei 2020 | 15 Ramadan 1441H- HARAKAHDAILY 8/5/2020

- Advertisement -