190 pelajar UMK dihantar pulang ke kampung

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sembilan bas digunakan bagi misi penghantaran pulang pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dari Kampus Kota, Pengkalan Chepa kira-kira jam 9 malam tadi.

Operasi penghantaran pelajar itu disaksikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli dan Timbalan Ketua Polis Negeri Kelantan, SAC Abdullah Muhammad Piah.

Dr Zaliman berkata, pergerakan bas itu membawa 190 pelajar UMK termasuk seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UITM) dan dua pelajar Lincoln College University bagi perjalanan ke destinasi zon selatan.

- Advertisement -

Katanya, kaedah penghantaran pulang pelajar mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Proses itu termasuk membuat pemeriksaan suhu badan atau saringan kesihatan oleh Pusat Kesihatan Universiti (PKU) dan proses sanitasi oleh anggota Bomba dan Penyelamat Kota Bharu,” katanya di sini.

Manakala pergerakan pulang pelajar dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak dijangka berlangsung pada 10 Mei 2020.

Sementara itu, rata-rata pelajar UMK yang ditemui melahirkan rasa gembira kerana dapat pulang ke rumah masing-masing sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasa sejak 18 Mac lalu.

Pelajar Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP), Mohd Hafizuddin Azmi, berkata beliau tidak sabar untuk pulang ke rumah dan bertemu keluarga di kampong di Negeri Sembilan.- HARAKAHDAILY 8/5/2020

- Advertisement -