Jangan ambil mudah kelonggaran PKP – KPK

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia berkemungkinan terpaksa membiasakan diri dengan situasi ini lebih kurang setahun atau setahun setengah sementara menunggu vaksin Covid-19 siap sepenuhnya.

- Advertisement -

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan (KPK), Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah, tempat paling selamat ketika ini adalah rumah masing-masing.

Justeru itu, beliau menasihatkan supaya rakyat Malaysia tidak akan mengambil mudah kelonggaran yang ada dan kekal berada di dalam rumah masing-masing kecuali untuk tujuan yang penting sahaja.

“Apa yang penting sekarang ini tempat yang paling selamat adalah di rumah, jadi kita nak nasihatkan semua rakyat Malaysia, kalau tidak ada keperluan untuk keluar rumah, sila duduk di rumah sebab itulah tempat paling selamat,” ujarnya.

Mengulas berhubung prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata Dr Noor Hisham ia dilakukan berdasarkan imbangan maqasid syariah di antara nyawa atau kehidupan dan juga ekonomi dan kesihatan.

“Sekarang ini kita hanya buka untuk ekonomi sahaja, kita harap ekonomi boleh berjalan, tetapi mereka yang pergi kerja pastikan mereka patuh kepada SOP-SOP KKM.

“Itu penting, sebab virus ini akan berada dalam komuniti kita untuk masa yang panjang. Jadi selagi kita tidak dapat vaksin, mungkin vaksin dalam tempoh setahun atau setahun setengah, kita perlu hidup dengan virus, bagaimana kita perlu menguruskan virus tersebut,” jelas beliau.

Katanya, beliau yakin sekiranya mendapat kerjasama yang padu dari rakyat Malaysia dan juga kerajaan, Malaysia mampu mengawal penularan virus tersebut sebagaimana yang dilakukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergereakan (PKP) Fasa Pertama, Kedua dan Ketiga.

“Apa yang beza Malaysia dengan negara lain adalah apabila mereka ada kelonggaran, mereka juga membuka sempadan.

“Kawalan sempadan kita tetap perketatkan, itu yang pertama, yang kedua kita masih pantau Covid-19 dalam masyarakat, iaitu setiap hari kita beri laporan dan kita akan lihat kepada lokaliti dan kumpulan sasar,” ujarnya dalam sidang media harian KKM di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, KKM juga berusaha meningkatkan fasiliti kesihatan termasuk berusaha melahirkan lebih ramai petugas kesihatan yang menumpukan kepada beberapa rawatan termasuk memperkasakan staf-staf di lapangan termasuk di fasiliti kesihatan awam dan makmal.- HARAKAHDAILY 2/5/2020

- Advertisement -