TERKINI: Sudah 2 juta warga dunia dijangkiti COVID-19

Malaysia semakin catat pemulihan, turun tangga ke-37

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dunia terus berada dalam ancaman penularan pandemik COVID-19 yang kian meningkat di 210 negara dan wilayah dengan angka rasmi direkodkan telahpun melepasi 2 juta kes setakat jam 1:00 petang ini.

- Advertisement -

Angka tersebut ternyata amat agresif lagi membimbangkan yang bermakna berlaku pertambahan sekali ganda hanya dalam tempoh 11 hari, setelah dunia mula mencapai jumlah satu juta kes positif Coronavirus pada 3 April lalu.

Perkembangan paling mencemaskan terlihat di Amerika Syarikat yang kini telah berjumlah 614,246 kes keseluruhan dengan mengalami peningkatan mendadak iaitu melebihi 20,000 kes baharu setiap hari sejak 30 Mac lalu.

Memasuki hari ke-130 sejak kes pesakit pertama dilaporkan di Wuhan China, pada 8 Disember lalu, Amerika Syarikat masih kekal di tangga teratas diikuti Sepanyol, Itali, Perancis, Jerman dan juga United Kingdom.

Amerika Syarikat juga mencatat korban terbesar iaitu 26,064 kes diikuti Itali sebanyak 21,067 kes, Sepanyol (18,255), Perancis (15,729) dan United Kingdom (12,107) dengan jumlah seluruh dunia kini 126,753 kematian.

Berikutan situasi sedang melanda ini yang menyebabkan lebih 3 bilion penduduk dunia berkurung dan hampir semua kegiatan ekonomi utama terhenti, maka dijangka pemulihan memerlukan tempoh lebih lama lagi.

Malaysia pula terus menunjukkan kemampuannya apabila mencapai pemulihan 49.7 peratus yang jauh lebih tinggi berbanding dunia iaitu 24.2 peratus, manakala kematian dicatat hanya 1.6 peratus mengatasi dunia 6.3 peratus.

Carta terbaharu juga menyaksikan kedudukan Malaysia terus dibaiki apabila turun satu lagi anak tangga, kini ke-37 dunia ketika negara ASEAN lain semakin meningkat naik iaitu Filipina (35), Indonesia (39), Singapura (47) dan Thailand (50).

Untuk sekian harinya, kes pulih bertambah 202 individu lagi menjadikan jumlah 2,478 pesakit telah sembuh, dengan mengatasi pertambahan 170 kes baharu yang merekodkan kumulatif 4,978 kes setakat jam 5:00 petang semalam.

Selain membuktikan keupayaan barisan hadapan negara dalam kalangan petugas kesihatan memberi rawatan terbaik, ia juga disumbang peranan angkatan keselamatan yang mengadakan kawalan dan pemantauan.

Juga solidariti dan pematuhan rakyat kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan rakyat sejak 18 Mac lalu dengan hari ini memasuki Fasa 3 sebelum dipastikan keadaan benar-benar selamat.

Setakat semalam juga pihak berkuasa agresif melakukan operasi sanitasi atau nyah cemar awam di seluruh negara yang tertumpu di lokasi 89 zon merah, jingga dan kuning, selain berjaya mengekalkan 29 daerah sebagai zon hijau.

Pun demikian, disiplin penduduk Malaysia perlu dipertingkatkan, kerana dari operasi penguatkuasaan dijalankan, jumlah individu yang ingkar juga masih ramai setiap hari hingga terpaksa ditahan, direman, dikompaun dan dituduh di mahkamah. – HARAKAHDAILY 15/4/2020


- Advertisement -