KKM kesan sub-kluster baharu di Rembau

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan sebuah sub-kluster baharu di Daerah Rembau, Negeri Sembilan yang berhubung kait dengan kluster perhimpunan di Seri Petaling.

- Advertisement -

Menurut Ketua Pengarah KKM, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah, kluster tersebut mempunyai kaitan dengan kakitangan sebuah sekolah dan kemudiannya menular di beberapa lokaliti Daerah Rembau, iaitu Pedas, Pilih, Kundur dan Batu Hampar.

Katanya, sehingga jam 12 tengah hari, hari ini, terdapat 27 orang yang telah dikenalpasti positif Covid-19, termasuk dua link kes yang dirawat di Unit Rawatan Intensif (ICU).

“Kluster ini mula dikesan apabila keputusan ujian Covid-19 adalah positif bagi beberapa guru di sebuah sekolah.

“Penularan ini dipercayai berpunca daripada satu mesyuarat yang diadakan di sekolah berkenaan di mana ianya telah dihadiri oleh kes indeks kes ke-448 yang merupakan salah seorang peserta perhimpunan di Seri Petaling.

“Guru-guru dan kakitangan sekolah yang dijangkiti seterusnya menjangkiti ahli keluarga mereka dan penduduk kampung, sehingga terdapat 3 generasi jangkitan.

“Siasatan juga mendapati terdapat aktiviti kunjung-mengunjung ke rumah saudara untuk
melawat ahli keluarga yang tidak sihat, walaupun Negara kini adalah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” ujarnya dalam satu sidang media KKM, di Putrajaya, hari ini.

Setakat ini, jumlah keseluruhan kes positif wabak Covid-19 adalah 4,119 kes dengan rekod kes pulih adalah 1,487.

Manakala, kes baharu yang dilaporkan hari ini adalah 156 kes dengan 76 daripadanya berada di ICU dan 45 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Malaysia hari ini mencatatkan kematian ke-65 sejak negara itu turut dilanda wabak jangkitan Covid-19 bermula Disember tahun lalu. – HARAKAHDAILY 8/4/2020

- Advertisement -