Rakyat tidak perlukan virus lagi

- Advertisement -

KEJAYAAN Perikatan Nasional (PN) menubuhkan kerajaan pada 1 Mac yang lalu adalah kesepakatan dan tindakan ‘exit plan’ yang perlu dilakukan segera demi kesejahteraan rakyat dan menyelamatkan negara dari kemelut politik yang lahir dari pertentangan di dalam Pakatan Harapan (PH) sendiri.

Semua parti politik di dalam PN telah berjanji bersetia dan menyerahkan kepada kuasa jelas YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pembentukan Kabinet serta pasukan pentadbiran beliau. Ianya juga telah disejahterakan oleh kebijaksanaan Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong mengikut peruntukan Perlembagaan yang ada pada baginda.

Oleh itu jika ada lagi pihak yang bercakap soal ketidak adilan dalam pelantikan Menteri-menteri tentulah tidak wajar, kurang manis dan lemah beradab. Dahulu, semua telah bersetuju dengan mandat ‘prerogative’ YAB Perdana Menteri tetapi kini lain pula jadinya.

- Advertisement -

Kita memahami dengan prinsip ‘en bloc’ dalam komposisi perjawatan Kabinet serta ‘survival’ halatuju sesebuah parti politik, apatah lagi jika ada desakan dari ‘inang-inang keliling’. Namun begitu semua pihak harus tenang, sabar dan melihat fokus priority terkini yang lebih besar.

Rakyat baru sahaja mual dengan wayang politik yang dipaparkan, ekonomi semakin menyusut, upah tidak meningkat, inflasi kian menghimpit dan COVID-19 terus mengejar. Alasan bahawa hanya dengan jawatan tertentu kita dapat berbakti kepada rakyat amatlah sakit dan dangkal.

Walaupun ada sedikit rasional tetapi ianya terlalu subjektif dan tidak tepat. Semua pimpinan parti politik boleh sahaja turun ke lapangan bersaing berbudi, mengambil hati dan merasai denyut nadi rakyat. Berikan cek kosong kepada rakyat untuk meletakkan harganya. Sesungguhnya rakyat bukan tunggul mati, rakyat cukup matang dan bijak menilai pihak mana yang beramanah, jujur dan ikhlas.

Pasukan Kabinet Tan Sri Muhyiddin perlu diberikan masa, peluang dan ruang untuk menenangkan suasana dan berbakti kepada rakyat dan negara. UMMAH Pulau Pinang cukup bersetuju dengan pandangan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Dato’ Dr. Asyraf Wajdi dan pendapat YB Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, bahawa rakyat perlu diberikan perhatian sekarang dan laksanakan ‘gencatan senjata’ segera demi kesejahteraan bersama.

Fikirkanlah petugas-petugas perubatan dan keselamatan yang sedang berperang dengan COVID-19, lihatlah Nek Chah yang terik kepanasan bersawah di Pendang dan santunilah Pak Usop yang kekurangan hasil tangkapan ikan di Damar Laut serta ramai lagi rakyat yang terkesan dengan dilema kehidupan kini. Generasi muda sedang memerhatikan semua ini dengan penuh kecewa. Kita pasti menyesal jika mereka menjatuhkan hukuman paling bisa suatu hari nanti.

Masih banyak kerja yang belum selesai. Sekiranya ada permasalahan, berbincanglah pada forum yang betul atau berbisiklah di dalam kelambu secara berhemah, tidak perlu ianya diperanakkan kepada umum dengan begitu semberono. Usah diberikan peluru hidup kepada musuh-musuh ummah yang sedang bercanda ria.

Jika pemain-pemain politik tidak mampu mendepani hasrat dan jiwa rakyat, mohonlah bersara. Kelihatan aman tenteram negara ketika ‘Sheraton Move’ dan ‘kemelut 7 hari’ tanpa huru-hara. Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Setiausaha Kementerian-kementerian serta penjawat awam boleh sahaja bekerja di bawah kebijaksanaan Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong dengan damai sejahtera.

Kenyataan ini seakan sinis tetapi mungkin lebih baik dari lakonan politik yang menghiris. Hentikan sengketa dan drama. Rakyat tidak perlukan virus lagi!

MOHD AKHIR CHE MAT
Pengerusi
UMMAH Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 17/3/2020

- Advertisement -