Duit rakyat bukan barang mainan

- Advertisement -

HARI ini nak ‘jek’ sikit. Kadang-kadang ‘jek’ ini ialah bagi semangat kepada kawan-kawan. Oleh kerana ia melibatkan kepentingan umum iaitu amanah rakyat, jadi ada lebih baik pujian diberikan secara terbuka juga, supaya menjadi contoh kepada orang lain. Adapun perasaan bangga diri atau yang semaksud dengannya, mohon Allah lindungi daripada tertimpa kepada individu yang dipuji.

Tahniah kepada Dr Ust Mohd Khairuddin At-Takiri Pengerusi Hotel Paya Bunga, Pengurus Besar Abdul Hadi Alias dan seluruh pasukan terutama bahagian pengurusan di atas kejayaan tahun pertama Hotel Paya Bunga yang mencatatkan pendapatan tahun pertama operasi sebanyak RM6.4 juta. Ini ialah duit rakyat Terengganu yang digunakan bagi menjalankan perniagaan hotel patuh syariah di Terengganu.

Teringat tahun lalu apabila pelantikan beliau dijadikan isu, sehingga didedahkan kepada umum berapa elaun yang diperolehi beliau. Bukan sahaja musuh, malahan sesama sendiri yang sering bertanya ‘dah tak ada orang lain ke?’ ‘ sampai empat GLC dia seorang’ dan macam-macam lagi.

Sehinggakan dalam satu group WhatsApp yang saya ada bersama beliau, secara terus terang beliau menyatakan kekecewaan kepada komen-komen yang menghentam, walaupun baru beberapa ketika memegang jawatan. Ramai yang melihat pelantikan itu sebagai tidak kena dan beliau hanya meminta masa untuk membuktikan bahawa beliau berkelayakan.

Alhamdulillah berkat usaha, kesabaran, sokongan dan doa semua, beliau berjaya menepis kembali kritikan-kritikan itu dengan memberikan balasan dalam bentuk kejayaan yang dapat dilihat semua dan menjalankan amanah rakyat dengan baik.

Marina Duyung pula, yang juga dipengerusikan Dr Khairuddin at-Takiri telah mencatatkan pendapatan sebanyak RM9.1 juta bagi tahun 2019. Beliau mengumumkan bagi tahun ini pula, sasaran pendapatan sebanyak RM10.8 juta dan berita baik ialah graf jualan sehingga kini, telah melebihi berbanding tahun lepas, menunjukkan Marina Duyung berada di landasan yang betul.

Sekarang Ustaz Faizul Abas telah diberi amanah untuk menjaga Marin Duyung sebagai Pengurus Besar, ketika dihubungi, telah merancang bagi mencabar sasaran pendapatan yang ditetapkan oleh Dr Khairuddin. Bagi meraikan kerja keras kakitangan, bonus dua bulan kepada kakitangan Marina Duyung diumumkan Khairuddin.

Untuk rekod, Marina Duyung dahulunya dikenali sebagai Kelab Teluk Warisan yang kemudiannya ditukar menjadi Ri-Yaz Heritage, dibina bagi tujuan perancangan kejohanan Monsoon Cup yang gagal itu. Direkodkan dalam Sidang Dun Terengganu, ianya sentiasa mencatatkan kerugian.

Termasuk juga Terengganu Strategic and Intergrity Institute (TSIS), salah satu lagi GLC Kerajaan Terengganu yang semakin dipercayai dapatan-dapatan mereka dalam kajian-kajian pilihan raya peringkat nasional, mengatasi institusi-institusi lain, kerana ketepatannya, juga dipengerusikan Dr Khairuddin.

Semoga kejayaan ini disyukuri oleh semua rakyat Terengganu serta menjadi contoh kepada tokoh-tokoh lain yang dipilih mempengerusikan GLC Terengganu. Untung rugi adalah adat berniaga, tetapi mencari orang yang amanah serta bersungguh-sungguh melaksanakannya itu adalah sangat penting.

Saya percaya Dr Khairuddin telah berjaya membuktikan kejayaan beliau, tanpa perlu berbalas panjang mesej di media sosial. Apa lagi yang dimahukan rakyat dengan angka pendapatan itu? Harap maaf bagi mereka yang merasakan tulisan ini ialah tulisan ‘mengipas’ kerana saya tiada apa-apa kepentingan. Takkan masa mengutuk dia dahulu sebelum dibuktikan apa-apa ok, nak puji kejayaan sekarang tak ok?

Tetapi hati ini cukup gembira kerana kejayaan ini sekali gus memberikan gambaran kesungguhan orang yang PAS amanahkan, menjalankan tanggungjawab menjaga wang rakyat.

MOHD NASIR ABDULLAH
4 Februari 2020 – HARAKAHDAILY 4/2/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -
- Advertisement -