Jangan biarkan umat terus dalam ‘gerhana’

    TAMBUN: Umat Islam tidak perlu berbalah dalam perkara yang tidak berhikmah sehingga membawa kepada perpecahan, sedangkan musuh Islam boleh bersatu untuk terus menghancurkan setiap Muslim.

    Advertisement

    Yang DiPertua PAS Kawasan Tambun, Ustaz Md Salleh Said menyingkap bahawa fenomena gerhana matahari separa siang baru-baru ini merupakan satu peringatan Allah kepada umat manusia.

    “Fenomena gerhana (ini) jarang berlaku dan ia juga berlaku di zaman Rasulullah. Ketika Baginda melihat gerhana, Baginda memberi penegasan untuk berdoa, dan sembahyang,” ujarnya dalam program Iftar Jamaei PAS Zon Tanjung Rambutan di sini kelmarin.

    Tambahnya lagi, beliau turut mengingatkan bahawa peristiwa kejatuhan Kerajaan BN pada PRU14 yang lalu merupakan satu tanda peringatan Allah.

    “Begitu juga diri kita dalam perjuangan Islam, PRU14 ialah ‘gerhana’ kepada kita, sudah tiba masanya untuk kita beringat bahawa umat Islam mesti bersatu dan mengelakkan bertelagah dengan perkara yang tidak memberi hikmah.

    “Ketika kita merancang strategi, jangan lupa bahawa mereka (musuh Islam) juga sedang merancang strategi. Tetapi, akhirnya kita jualah umat yang kembali kepada perancangan Allah kerana kita yakin bahawa Allah adalah sebaik-baik perancang,” ujarnya di hadapan lebih 300 hadirin.

    Beliau juga menekankan agar ahli PAS sentiasa mengukuhkan kefahaman Islam yang sebenar-benarnya agar tidak mengulangi kesilapan Kerajaan PH yang berlaku kini termasuk meneguhkan tarbiyah diri.

    Beliau juga menyeru agar setiap ahli sentiasa bermuhasabah dalam memahami erti perjuangan sebenar serta terus istiqamah menunjukkan kesatuan muafakat ini kepada masyarakat dan meyakini mereka bahawa Islam memimpin perpaduan. – HARAKAHDAILY 29/12/2019