Ahli As-Sabiqun diseru jadi amilin ke akhir hayat

    - Advertisement -

    TAPAH: Walaupun rata-rata berumur di hujung usia, namun tidak harus hanya menanti kedatangan ajal tanpa memikirkan untuk menjadi amilin mengembleng tenaga dan harta ke arah matlamat keredhaan Allah dan mengejar janji kemuliaan di akhirat.

    - Advertisement -

    Pengerusi Sidang As-Sabiqun PAS Pusat, Subky Latif melontarkan nasihat demikian kepada ahli-ahli As-Sabiqun semasa berucap pada Majlis Makan Malam Amal Sidang As-Sabiqun di Sentosa Eco Park, Sungai Cincin, Chenderiang, di sini baru-baru ini.

    Menurutnya, ahli As-Sabiqun juga merupakan tenaga penting kepada PAS dalam memastikan perjuangan Islam menerusi siyasah dan dakwah didukung istiqamah hingga ke akhir hayat tanpa berlaku keciciran apatah lagi keluar parti.

    Pun begitu maklumnya, keahlian As-Sabiqun kini semakin meningkat dengan tertinggi Kedah seramai 90,000 ahli diikuti Kelantan (60,000) dan Perak (50,000) di mana bakal melonjak apabila had umur keahlian diturunkan kepada 50 tahun nanti.

    Beliau juga dalam ucapannya mengimbas sejarah penubuhan As-Sabiqun yang ditubuhkan tiga tahun lalu iaitu tahun 2016 di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur di mana nama tersebut diambil dari ayat 100 surah at-Tawbah.

    “Dan orang-orang yang terdahulu (berhijrah dan memberi bantuan) dari Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia. Serta Dia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, itulah kemenangan yang besar,” maksud ayat tersebut.

    Kata Subky, sebelum ini As-Sabiqun dikenali sebagai Kelab Veteran PAS dengan keahliannya untuk mereka yang berumur 60 tahun ke atas. – HARAKAHDAILY 12/12/2019