
KOTA BHARU: Pelantikan Kepimpinan Anak Muda Rakan Al-Quran disifatkan sebagai satu amanah besar dalam memperkasa gerakan dakwah serta pembangunan sahsiah generasi muda.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, Zamakhari Muhammad berkata, watikah pelantikan yang diserahkan kepada barisan kepimpinan tersebut bukan sekadar pengiktirafan, sebaliknya tanggungjawab yang perlu digalas dengan penuh komitmen.
“Pelantikan ini bukan sekadar pengiktirafan, tetapi satu tanggungjawab untuk memimpin dan menggerakkan usaha dakwah di peringkat komuniti,” katanya.
Majlis serahan watikah dibuat sewaktu sesi kunjungan hormat Kepimpinan Anak Muda Rakan Al-Quran dan majlis perkongsian idea serta aspirasi dalam memperkasa generasi muda berteraskan nilai-nilai al-Quran.
Tambahnya, kepimpinan yang dilantik diharap mampu memainkan peranan sebagai agen perubahan serta menjadi qudwah hasanah kepada masyarakat.
“Semoga barisan kepimpinan ini terus istiqamah, berperanan sebagai agen perubahan dan menjadi contoh terbaik khususnya dalam kalangan generasi muda,” ujarnya.
Katanya lagi, kerajaan negeri akan sentiasa menyokong segala usaha yang menjurus kepada pembinaan ummah yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing.
Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan berteraskan Al-Quran adalah asas penting dalam melahirkan generasi belia yang mampu menjadi pemacu masa depan negeri.
Program tersebut mengangkat tema ‘Anak Muda Rabbani, Pemacu Masa Depan Negeri’ selari dengan usaha melahirkan kepimpinan muda yang berintegriti dan berdaya saing. – HARAKAHDAILY 2/4/2026




















