
SHAH ALAM: Dalam dunia yang semakin berpecah akibat pelbagai konflik geopolitik dan krisis identiti, usaha menyatukan umat Islam kini bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi satu keperluan mendesak.
Naib Ketua Pemuda PAS Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, penganjuran Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 & Himpunan Alam Melayu 2026 merupakan langkah signifikan dalam menghidupkan semula semangat kesatuan yang pernah menjadi asas kegemilangan rantau ini.
“Sejarah membuktikan bahawa Alam Melayu pernah mencapai kemuncak tamadun melalui Kesultanan Melayu Melaka yang bukan sahaja unggul sebagai pusat perdagangan, malah menjadi pusat penyebaran Islam dan pertemuan pelbagai bangsa.
“Ketika itu, kekuatan Melaka bukan hanya terletak pada kedudukannya yang strategik, tetapi pada kesatuan masyarakat di bawah nilai agama, budaya dan kepimpinan yang tersusun,” katanya kepada Harakahdaily.
Faizzuddin berkata, Melaka berkembang menjadi kuasa besar serantau hasil sistem pentadbiran berteraskan Islam melalui Hukum Kanun Melaka yang berjaya mewujudkan kestabilan politik dan sosial.
“Ini membuktikan bahawa perpaduan yang berpaksikan nilai bersama mampu melahirkan sebuah tamadun yang dihormati,” katanya.
Namun, beliau mengingatkan bahawa sejarah juga menunjukkan kejatuhan Melaka bukan semata-mata disebabkan ancaman luar, tetapi turut berpunca daripada kelemahan dalaman dan perpecahan masyarakat.
“Tanpa kesatuan, kekuatan sesuatu bangsa akan mudah dimusnahkan oleh pihak luar,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata penganjuran ijtimak itu menghimpunkan pelbagai tokoh, ulama dan masyarakat dari dalam serta luar negara dalam satu platform bagi memperkukuh kefahaman, merapatkan jurang perbezaan dan membina jaringan ummah yang lebih kukuh.
Katanya, jika Melaka suatu ketika dahulu menjadi titik pertemuan pedagang dunia, Terengganu kini tampil sebagai simbol pertemuan pemikiran serta kesatuan umat Islam dan masyarakat Alam Melayu.
“Perbezaannya, cabaran masa kini bukan lagi penjajahan fizikal, tetapi ancaman terhadap pemikiran, budaya dan identiti,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata pengisian program seperti silat, memanah, kesenian dan karnival rakyat mencerminkan usaha mengangkat semula warisan sebagai elemen penting dalam pembinaan masyarakat.
“Budaya bukan sekadar hiburan, tetapi medium untuk memperkukuh jati diri dan nilai kebersamaan, khususnya dalam menghadapi cabaran globalisasi,” jelasnya.
Menurut beliau lagi, dalam era yang semakin mencabar identiti tempatan, pendekatan berasaskan budaya amat penting bagi memastikan generasi muda terus memahami akar sejarah dan warisan mereka.
Faizuddin turut menegaskan bahawa ijtimak berkenaan turut membawa mesej jelas bahawa sejarah bukan sekadar untuk dikenang, sebaliknya perlu dijadikan panduan dalam membina masa depan.
“Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka lahir daripada perpaduan, manakala kejatuhannya berpunca daripada perpecahan.
“Persoalannya, adakah masyarakat hari ini bersedia untuk mengambil iktibar?” katanya.
Tambah beliau, jika semangat kesatuan itu dapat dihidupkan semula, tidak mustahil Alam Melayu mampu kembali muncul sebagai kekuatan berpengaruh di peringkat serantau dan global.
Terdahulu, Terengganu bakal mencatat satu lagi detik bersejarah apabila negeri itu menjadi tuan rumah kepada Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah dan Himpunan Alam Melayu 2026 yang berlangsung dari 2 hingga 4 April ini.
Program bertaraf antarabangsa itu merupakan medan besar yang menghimpunkan ulama, ilmuan, pemimpin, tokoh budaya, aktivis, belia serta masyarakat dari seluruh Alam Melayu dalam usaha memperkukuh perpaduan ummah dan mengangkat kembali jati diri Melayu-Islam. – HARAKAHDAILY 2/4/2026











