Wadah dekati semula akar sejarah, tamadun Islam

Platform pentingAlam Melayu dan Ketamadunan Islam

- Advertisement -

KUALA NERUS: Penganjuran Karnival Alam Melayu dan Ketamadunan Islam dilihat sebagai platform penting dalam mendekatkan masyarakat kepada akar sejarah serta warisan tamadun Islam yang menjadi asas pembentukan jati diri ummah.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Mohd Nor Hamzah berkata, program seumpama itu bukan sekadar bersifat nostalgia, sebaliknya berperanan membimbing generasi masa kini memahami asas budaya dan nilai yang membentuk masyarakat Melayu-Islam.

- Advertisement -

Menurutnya, tema ‘Satu Ummah’ yang diketengahkan dalam karnival berkenaan amat bertepatan dengan cabaran semasa yang menyaksikan perbezaan mudah menjadi punca perpecahan jika tidak diurus dengan baik.

“Tema yang kita angkat pada hari ini terasa dekat dengan keadaan semasa. Kita hidup dalam zaman yang mencabar di mana sebarang bentuk perbezaan begitu mudah menjadi jurang yang dalam dan sebuah kesatuan sering diuji oleh kepentingan yang pelbagai.

“Justeru, seruan untuk kembali kepada kesatuan sebenarnya bukan lah satu slogan yang retorik, bahkan ia satu keperluan bagi menjamin kestabilan dan kesejahteraan masyarakat.

“Di Alam Melayu, kita mewarisi satu tradisi yang panjang iaitu tradisi yang membentuk cara kita berfikir, berbahasa, dan bernegara. Apabila Islam datang, ia tidak memadamkan warisan ini, bahkan menyusunnya dengan nilai dan adab yang lebih tinggi. Dari situlah lahirnya jati diri Melayu-Islam yang sederhana, seimbang dan berakar umbi.

“Tanggungjawab kita pada hari ini adalah untuk memastikan jati diri ini terus hidup. Bukan dalam bentuk nostalgia semata-mata, namun sebagai asas yang membimbing generasi akan datang menghadapi dunia yang jauh lebih kompleksdan lebih mencabar,” katanya.

Beliau berkata demikian mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merasmikan Karnival Alam Melayu dan Ketamadunan Islam di perkarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Nor berkata, masyarakat perlu menerima hakikat kepelbagaian pandangan dalam kalangan umat Islam sebagai satu realiti yang perlu diurus dengan ilmu, adab dan saling menghormati.

“Kita tidak boleh menafikan wujudnya kepelbagaian dalam kalangan umat Islam sendiri. Perbezaan mazhab dan pandangan adalah realiti yang telah lama wujud dalam sejarah.

“Apa yang penting ialah bagaimana kita mengurus perbezaan itu dengan ilmu, dengan adab dan dengan rasa hormat. Di situlah terletaknya kekuatan sebenar sesebuah ummah,” katanya.

Kata beliau, kekuatan ummah tidak hanya bergantung kepada kesatuan semata-mata, tetapi turut memerlukan asas ekonomi yang kukuh bagi mengelakkan kebergantungan kepada pihak luar.

“Kesatuan juga memerlukan asas yang kukuh dari aspek ekonomi. Tanpa kekuatan ekonomi, kita akan terus bergantung dan mudah terdedah kepada tekanan daripada luar.

“Maka usaha memperkukuh ekonomi ummah perlu digerakkan secara tersusun dalam membina keupayaan, membuka peluang dan memastikan kemakmuran itu dapat dirasai secara lebih menyeluruh,” katanya.

Selain itu, beliau turut menegaskan kepentingan kepimpinan berintegriti dalam memastikan kestabilan dan keharmonian masyarakat terus terpelihara.

“Kita memerlukan barisan pemimpin yang diyakini jelas prinsipnya, bersih tindakannya dan sentiasa menyedari bahawa amanah ini akan dipersoalkan di dunia dan di akhirat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata hubungan erat dalam rantau Alam Melayu yang terjalin sejak sekian lama dari aspek bahasa, budaya, perdagangan dan keilmuan perlu dimanfaatkan secara lebih strategik.

“Potensi ini masih besar dan wajar digerakkan dengan lebih tersusun agar dapat memberi manfaat kepada ummah secara keseluruhan,” katanya.

Dalam konteks Malaysia, katanya, kedudukan Melayu dan Bumiputera sebagai teras negara perlu diperkukuh tanpa mengabaikan kepentingan masyarakat lain yang turut bersama membangunkan negara.

“Dalam konteks Malaysia, kita perlu jujur melihat realiti. Melayu dan Bumiputera adalah kelompok majoriti yang menjadi teras kepada kestabilan negara.

Mengukuhkan kedudukan ini bermakna mengukuhkan asas negara itu sendiri daripada pelbagai aspek seperti pendidikan, ekonomisosial dan nilai sebuah kemasyarakatan.

“Namun, dalam masa yang sama, kita tidak boleh mengetepikan masyarakat lain yang telah lama bersama membina negara ini. Keharmonian yang kita nikmati hari ini lahir daripada kesediaan untuk hidup bersama, saling memahami dan berkongsi masa depan yang sama demi Malaysia yang tercinta.

“Keseimbangan inilah yang perlu kita jaga dan pelihara dengan penuh kebijaksanaan,” katanya.

Tambah beliau, karnival berkenaan turut menjadi ruang untuk masyarakat bertukar pandangan serta memperbaharui tekad dalam memperkukuh kesatuan ummah secara menyeluruh.

“Jika segala yang kita bicarakan hari ini ingin dirumuskan dalam satu gagasan yang jelas, maka inilah yang perlu kita perjuangkan bersama.

“Penyatuan ummah yang kita cita-citakan ialah kesatuan yang berakar pada jati diri, matang dalam mengurus perbezaan, kukuh kekuatan ekonominya, dipandu oleh kepimpinan yang berintegriti serta adil dalam membina kehidupan bernegara.

“Inilah asas yang akan menentukan sama ada kita sekadar berkumpul sebagai masyarakat atau benar-benar bangkit sebagai satu ummah yang berwibawa,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/4/2026

- Advertisement -