
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa meletakkan keutamaan terhadap penambahbaikan perkhidmatan pengangkutan awam sebagai usaha berterusan meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat di negeri ini.
Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, sistem pengangkutan awam yang cekap, selamat dan berpatutan amat penting bagi memastikan pergerakan ekonomi, sosial serta urusan harian rakyat berjalan lancar.
Menurut beliau, pelaksanaan Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) melalui jenama BAS.MY Kota Bharu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh jaringan pengangkutan awam yang lebih tersusun dan mesra rakyat.
“Keupayaan rakyat untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain bergantung kepada sistem pengangkutan awam yang terancang, seiring dengan pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran BAS.MY Kota Bharu, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Eksekutif E-Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail.
Mohd Nassuruddin menjelaskan, BAS.MY Kota Bharu melibatkan perkhidmatan di 11 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di hampir seluruh Kelantan, sekali gus memastikan tiada jajahan yang terpinggir daripada akses pengangkutan awam.
Katanya, sebanyak 64 buah bas disediakan melibatkan 16 laluan strategik yang menghubungkan Kota Bharu dengan bandar-bandar utama setiap jajahan, termasuk pengenalan lapan unit bas elektrik (EV) bagi laluan bandar.
“Pengenalan bas elektrik ini selaras dengan inisiatif mobiliti hijau bagi mengurangkan pencemaran alam sekitar dan meningkatkan keselesaan pengguna,” ujarnya.
Mengulas mengenai sambutan rakyat, beliau memaklumkan bahawa bagi tempoh Julai hingga Disember 2025, seramai 382,903 penumpang telah menggunakan perkhidmatan BAS.MY, dengan laluan Kota Bharu–Rantau Panjang mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 85,516 penumpang.
Selain itu, setakat 17 Januari 2026, seramai 6,297 pengguna telah mendaftar Kad Konsesi melibatkan warga emas, pelajar sekolah, mahasiswa dan golongan orang kurang upaya (OKU).
Beliau turut menegaskan keperluan pembangunan prasarana sokongan yang lebih kondusif termasuk usaha menjadikan KB Sentral sebagai hab pengangkutan bersepadu melibatkan bas berhenti-henti, bas ekspres dan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata dalam ucapannya pula, Kelantan muncul antara negeri yang mencatatkan penggunaan tertinggi perkhidmatan BAS.MY dengan purata 84,000 penumpang sebulan direkodkan pada suku keempat 2025, hampir dua kali ganda berbanding tempoh sama sebelum pelaksanaannya.
Menurut beliau, prestasi itu membuktikan penerimaan baik rakyat Kelantan terhadap sistem pengangkutan awam yang lebih sistematik dan mesra pengguna, selain melepasi sasaran awal kementeriannya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan melaburkan RM109.3 juta bagi tempoh lima tahun bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan BAS.MY di Kota Bharu, selain memperuntukkan lebih RM200 juta bagi pelaksanaan BAS.MY di seluruh negara. – HARAKAHDAILY 29/1/2026




















