
ALOR SETAR: Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menasihatkan orang ramai mahupun pihak tertentu, agar tidak mengulas perkara di luar bidangnya atau bukan ahli untuk mengelak berlaku kecelaruan.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS itu berkata, sebaiknya diserahkan kepada kepada pihak yang berautoriti atau pakar dalam hal berkenaan.
“Yang bukan ahli dalam perkara itu, jangan cakap dan tak perlu campur tangan. Ini tidak, semua orang nak ulas. Macam saya, walaupun saya baca, dan saya faham tetapi bila saya bukan ahli kepada perkara itu, saya serah kepada orang yang pakar untuk bercakap.
“Sekiranya tidak faham, sebaiknya tidak perlu bercakap atau membuat ulasan. Senang sahaja dunia ini. Urusan itu serah kepada ahlinya, barulah teratur,” jelas beliau ketika ditemui di Wisma Darul Aman, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan media berkenaan kenyataan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan pemansuhan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Kata Sanusi lagi, di dalam Perlembagaan PN, wujudnya Majlis Presiden dianggotai oleh Presiden parti yang mewakili sebagai penasihat serta mengawal dasar-dasar.
Sementara, Pengerusi PN pula adalah eksekutif mempengerusikan Majlis Tertinggi, di mana kedua-dua bidang tersebut berbeza.
“Tidak timbul isu di situ. Keputusan yang dibuat perlu persetujuan semua kompenan yang ada. Tak boleh buat keputusan sendiri-sendiri. Buat apa-apapun kena rujuk perlembagaan kerana berdasarkan perlembagaan, siapapun tak boleh pertikaikan,” tegasnya lagi.
Walau bagaimanapun tegas beliau, pentaksiran kepada perlembagaan perlu dibincang, dirunding serta diperhalusi.
Terdahulu, PAS menyangkal kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan pemansuhan jawatan Pengerusi PN seperti terkandung di dalam surat Presiden BERSATU itu yang tersebar kepada media sebelum ini.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, isu itu sama sekali tidak pernah dibincangkan dan dipersetujui oleh PAS termasuk dalam pertemuan pada 16 Januari lalu. – HARAKAHDAILY 29/1/2026











