REE: Kelantan kenal pasti rakan strategik terbaik

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan sedang meneliti dan mengenal pasti rakan strategik terbaik bagi membangunkan industri unsur nadir bumi (REE) di negeri itu supaya memberi pulangan maksimum kepada kerajaan dan manfaat jangka panjang kepada rakyat.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pemilihan rakan strategik dibuat secara berhati-hati melalui agensi kerajaan negeri bagi memastikan aspek undang-undang, pulangan hasil, pemindahan teknologi dan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dapat dipenuhi.

- Advertisement -

“Kita sudah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat tertentu termasuk Lynas, dan dalam masa yang sama sedang berbincang dengan beberapa syarikat lain melalui Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) serta Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kota Darul Naim, di sini.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak mahu REE hanya dijual dalam bentuk mentah, sebaliknya menyasarkan pembangunan menyeluruh omerangkumi rantaian huluan, pertengahan dan hiliran dilaksanakan di Kelantan.

“Kita mahu REE diproses dalam negeri supaya nilainya lebih tinggi kerana jika hanya dijual mentah, harganya rendah,” katanya.

“Tetapi apabila diproses, ia boleh menghasilkan produk bernilai tinggi dan memberi lebih banyak peluang pekerjaan serta pemindahan teknologi,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan sumber REE adalah hak negeri sepenuhnya seperti termaktub dalam undang-undang dan tidak boleh terjejas akibat sebarang perjanjian perdagangan antarabangsa yang dimeterai oleh Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri turut berhati-hati terhadap implikasi Perjanjian Timbal Balas Perdagangan (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat yang dibimbangi boleh menjejaskan pengurusan REE di peringkat negeri.

“Mineral dalam bumi adalah hak negeri. Kita perlu memastikan kepentingan Kelantan terus dilindungi.
“Walaupun ramai pelabur dari dalam dan luar negara menyatakan minat, kerajaan negeri akan memilih pihak yang mampu menawarkan nilai terbaik serta selari dengan kepentingan negeri dan rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/1/2026

- Advertisement -