PAS Melaka bantah normalisasi gaya hidup songsang

Ahmad Bilal Rahudin
- Advertisement -

MELAKA: PAS Melaka memandang serius tindakan sebuah hotel di negeri ini yang didakwa mempromosikan fasiliti mereka dengan pelabelan ‘Gay Friendly’ secara terbuka menerusi platform dalam talian dan paparan awam.

Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka, Ustaz Ahmad Bilal Rahudin berkata, tindakan Hotel White Loft itu disifatkan sebagai tidak wajar dan amat mendukacitakan.

- Advertisement -

Katanya, promosi sedemikian jelas bercanggah dengan nilai agama Islam, adat budaya Melayu serta menyentuh sensitiviti masyarakat majoriti di negeri ini.

“Lebih membimbangkan, tindakan tersebut dilihat sebagai satu usaha menormalisasikan gaya hidup songsang yang bertentangan dengan fitrah manusia, prinsip moral masyarakat dan undang-undang negara.

“Melaka bukan sekadar destinasi pelancongan, tetapi sebuah negeri bersejarah yang identitinya dibina atas asas agama, akhlak dan adab ketimuran,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan Melaka tidak wajar dijadikan medan promosi ideologi yang bertentangan dengan nilai tempatan semata-mata atas alasan komersial atau pemasaran pelancongan.

Menurutnya lagi, pemberian layanan profesional dan adil kepada pelanggan tidak memerlukan sebarang pelabelan berasaskan orientasi seksual.

“Pelabelan seperti ‘Gay Friendly’ membawa maksud dan konotasi yang jelas, serta tidak boleh dianggap sebagai istilah neutral semata-mata,” jelasnya.

Sehubungan itu, PAS Melaka menuntut agar pihak pengurusan hotel berkenaan menarik balik serta-merta sebarang bentuk promosi atau paparan yang menggunakan istilah tersebut.

Dalam pada itu, Ahmad Bilal turut menggesa Kerajaan Negeri Melaka dan agensi berkaitan supaya menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan perkara itu tidak berulang dan menjadi ikutan premis lain.

Tambahnya, satu garis panduan yang lebih tegas dan jelas perlu dikeluarkan kepada semua pengusaha hotel dan sektor pelancongan agar operasi mereka selari dengan nilai agama dan budaya masyarakat Melaka.

“Prinsip toleransi dan keterbukaan tidak boleh disalah tafsir sehingga menghakis asas agama dan moral masyarakat.

“Kebebasan berniaga mesti bergerak dalam kerangka tanggungjawab sosial serta menghormati identiti negeri dan kedaulatan nilai tempatan,” tegasnya.

Beliau menyatakan PAS akan terus konsisten mempertahankan kesucian agama, menjaga keharmonian masyarakat dan memastikan Melaka kekal sebagai negeri yang berpegang teguh kepada nilai Islam dan budaya timur. – HARAKAHDAILY 15/1/2026

- Advertisement -