Bawa balik makanan di kenduri kahwin

- Advertisement -

Soalan:

Bolehkah tetamu yang dijemput ke kenduri kahwin bawa balik makanan yang dihidangkan untuk dimakan oleh anak-anaknya di rumah?

- Advertisement -

Jawapan:

Barangsiapa yang dijemput pergi ke kenduri kahwin maka harus dia makan di situ sahaja dan jika dia hendak mengambil makanan untuk dibawa pulang ke rumah atau ke tempat lain maka wajib dia meminta izin daripada tuan rumah.

Jika dia tidak meminta izin nescaya hukumnya adalah haram dan wajib dia pulangkan semula jika masih elok dan jika sudah dimakannya maka wajib dia membayar akan harganya.

Dan demikian juga haram dia beri makanan yang dijamu itu kepada orang lain yang tidak dijemput oleh tuan rumah.

Berkata Syeikh Ali As-Sobuni:

أنّ الطعام الذي يقدّم للضيف لا يكون على وجه التمليك، وإنما هو على وجه الإباحة، فلو أراد الضيف أن يحمل معه الطعام إلى بيته لا يجوز له ذلك لأن المضيف إنما أباح له الأكل فقط دون التملك له أو أخذه أو إعطائه لأحد.

Ertinya: “Sungguhnya makanan yang dihidangkan bagi tetamu bukannya atas rupa beri milik dan hanyalah ia atas rupa mengharuskan baginya sahaja makan. Maka jikalau tetamu hendak bawa makanan itu pulang ke rumahnya nescaya tidak harus yang demikian itu kerana tetamu hanya diharuskan baginya makan sahaja bukannya memilikinya dan bukannya dia boleh mengambilnya atau memberinya bagi seseorang.” (Kitab Tafsir Rawa_i’ Al Bayan)

Dan berkata Imam Al-Qurtubi:

في هذه الآية دليل على أن الضيف يأكل على ملك المضيف، لا على ملك نفسه لأنه تعالى قال: {فَإِذَا طَعِمْتُمْ فانتشروا} فلم يجعل له أكثر من الأكل، ولا أضاف إليه سواه، وبقي الملك على أصله

Ertinya: “Pada ayat ini menjadi dalil atas bahawasanya tetamu memakan atas milik tuan rumah bukan atas milik dirinya kerana sungguhnya firman Allah Taala {Maka apabila kamu selesai menjamah akan makanan maka hendaklah kamu beredar} maka yang diharuskan baginya tidaklah lebih dari sekadar makan sahaja dan dia tidak boleh menjamu akan selainnya dan kekal milik makanan itu atas tuannya yang asal.”

Kesimpulannya, tetamu yang dijemput ke kenduri seperti kenduri kahwin hanya harus memakan makanan yang dihidangkan.

Haram atasnya membawa balik tanpa izin atau memberinya kepada orang lain.

Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 15/1/2026

- Advertisement -