
KUALA LUMPUR: Dakwaan mengatakan PAS bakal terbubar adalah tidak selari dengan realiti politik semasa, sebaliknya parti yang lemah dan terus kehilangan sokongan rakyat wajar lebih bimbang terhadap masa depan mereka.
Penganalisa politik Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, jika kenyataan sedemikian dibuat kira-kira 40 tahun lalu, ia mungkin dianggap munasabah berikutan prestasi paling buruk PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-7 pada 1986 apabila PAS hanya memenangi satu kerusi Parlimen di Pengkalan Chepa, selain gagal menguasai mana-mana kerajaan negeri ketika itu.
Menurutnya, pada PRU berkenaan Barisan Nasional (BN) memenangi 148 kerusi Parlimen, manakala Umno bertanding di 84 kerusi dan hanya tewas satu kerusi, menjadikan kedudukan PAS ketika itu dilihat amat lemah dan berpotensi untuk terkubur.
“Itu 40 tahun lalu. Hari ini masuk tahun ketiga kita selesai meninggalkan PRU ke-15, iaitu PRU yang paling cemerlang buat PAS,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial miliknya.
Roslan menjelaskan lagi, PAS yang suatu ketika hampir terkubur kini bangkit dengan sokongan kukuh, khususnya daripada orang Melayu dan golongan muda, apabila memenangi 43 kerusi Parlimen pada PRU15 serta mempunyai wakil rakyat di hampir semua negeri.
Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa Umno yang suatu ketika dahulu memiliki kekuatan besar, kini hanya tinggal 26 kerusi Parlimen, iaitu prestasi terburuk dalam sejarah parti itu.
“Ironinya, Umno yang Presidennya hari ini menegaskan biar PAS terbubar dengan sendirinya, partinya jika pada PRU 1986 (iaitu 40 tahun lalu) punya 83 kerusi, hari ini ia cuma mampu bertahan di 26 kerusi Parlimen (Presidennya pun menang kerusi Parlimennya di Bagan Datuk dengan hanya 348 undi),” tegasnya.
Beliau turut mengulas kedudukan Umno dalam kerajaan Persekutuan ketika ini yang meskipun memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, namun bukan peneraju kerajaan pusat, selain menyifatkan Parti Tindakan Demokratik (DAP) sebagai blok terbesar dalam kerajaan dengan 40 kerusi Parlimen.
Tambah Roslan, dengan prestasi semasa dan momentum sokongan rakyat, PAS berpotensi untuk terus melonjak, manakala Umno pula berdepan persoalan besar sama ada mampu bangkit semula atau berisiko ditinggalkan pengundi Melayu sekiranya terus membuat percaturan yang silap.
“Apa pun terserahlah pada rakyat untuk membuat keputusan. Sebaiknya kita PAS dan Umno bermuafakat dan bersatu mengukuhkan kuasa politik Melayu Islam dalam negara.
“Tetapi kalau Umno memilih untuk bertembung kerana yakin dengan bantuan PH (yang didominasi DAP), terpulanglah pada umat Melayu untuk memutuskan, PAS atau Umno kah… kita lihat siapa yang bubar,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/1/2026











