
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar menegur seruan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang menggesa penyatuan Melayu-Islam di bawah panji PAS dan Umno.
“Masalahnya, mulut kita ini menyeru (kepada penyatuan Melayu Islam di bawah panji PAS dan Umno), tetapi hubungan ‘intim’ (Umno dengan DAP) itu tetap utuh di atas sana. Usahlah sebut kita-kita di Pemuda ini jelas mahu memutuskan hubungan dengan DAP.
“Tapi, ‘boss’ kita (Pengerusi BN) tetap masih mengeluarkan nada untuk bersama mereka (DAP), cuma negeri sahaja tidak. Ketahuilah Dr, bukan itu caranya,” tempelak beliau dalam media sosial miliknya.
Beliau berkata demikian dipercayai susulan kenyataan Dr Akmal yang dilaporkan menghulurkan tangan kepada PAS untuk penyatuan Melayu-Islam dengan menyeru kedua-dua parti Melayu terbesar itu melupakan sengketa demi masa depan bangsa dalam
Dr Akmal dilaporkan menegaskan, Umno bersedia bekerjasama dengan PAS kerana perpecahan Melayu hanya akan membuka ruang kepada pihak lain mengambil kesempatan terhadap generasi akan datang.
“Mari kita satu hati, kita duduk dalam Rumah Bangsa ini. Kita duduk sama-sama. Bagi Umno, saya mewakili Pemuda, kita menghulurkan tangan untuk penyatuan Melayu-Islam ini di tanah air kita.
“Sebab dah sampai masanya. Kalau kita bertelagah bersama sendiri, percayalah… hari ini tuan-tuan ada kerja, tak apa. Bagus. Alhamdulillah. Tapi kalau hari ini Melayu bersama Melayu, kita bertelagah, akhirnya ada puak yang mengambil kesempatan, apa akan jadi kepada anak cucu cicit kita?” soal Dr Akmal.
Walau bagaimanapun, Khairul Nadzir menyatakan bahawa, Perikatan Nasional (PN) kekal dengan pendirian untuk menolak Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan DAP.
“Sebab itu di bawah panji Perikatan Nasional itu masih kekal berpendirian untuk kekal menolak Anwar Ibrahim dan DAP,” kata Khairul Nadzir sambil menambah, jika perkara itu dapat dimuktamadkan, pihaknya mengajak Dr Akmal untuk bersama pendirian tersebut.
Dalam masa sama, beliau turut mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkenaan usaha penyatuan Melayu-Islam di bawah PAS dan Umno, yang disifatkannya sebagai satu seruan besar dan perlu dipertimbangkan.
“Ya, seruan yang besar dan perlu! Tetapi, bukan hanya di bawah kepentingan Pilihan Raya Negeri dan Umum, tapi di bawah survival orang Melayu dan Islam yang lebih membumi!
“Kedua pihak (PAS dan Umno) mempunyai persamaan ketara, di mana jika kita nak bersatu, DAP bukanlah menganggotai penyatuan ini, sama ada di pusat, atau di negeri,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/6/2026











