
KUALA TERENGGANU: Sistem parkir automatik bertingkat di Jalan Batas Baru yang dimiliki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dijangka dapat digunakan semula menjelang penghujung tahun ini selepas menjalani kerja pembaikan menyeluruh sejak Mac lalu.
Datuk Bandar MBKT, Datuk Lizan Che Mat berkata, proses pemulihan kemudahan itu kini sedang berjalan dan dikendalikan oleh sebuah syarikat tempatan yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan.
Menurut beliau, sistem parkir yang mula diperkenalkan pada Februari 2021 itu merupakan antara kemudahan parkir automatik terawal di negara ini yang menggunakan teknologi berputar atau ‘rotary type’.
“Parkir ini terdiri daripada 24 set sistem parkir yang mampu memuatkan 10 buah kenderaan bagi setiap set, menjadikan kapasiti keseluruhannya sebanyak 240 kenderaan.
“Kerja-kerja pembaikan dijangka mengambil masa kira-kira enam bulan sebelum ia dapat digunakan semula oleh orang ramai,” katanya memetik laporan Terengganu Darul Iman (TRDI).
Beliau berkata, pengoperasian dan penyelenggaraan sistem berkenaan telah diserahkan kepada sebuah syarikat melalui perjanjian pajakan selama 15 tahun.
Katanya, keputusan itu dibuat berikutan keperluan kepakaran teknikal yang khusus selain kos penyelenggaraan yang tinggi untuk memastikan sistem berfungsi dengan baik.
“MBKT mempunyai kekangan dari segi tenaga kerja untuk mengendalikan sistem ini sepenuhnya, selain kos operasi dan penyelenggaraannya yang agak tinggi,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Lizan berkata sebuah bangunan lama di Jalan Engku Sar yang sebelum ini terbiar dan semakin uzur turut menjalani kerja pemulihan.
Menurut beliau, bangunan yang pernah digunakan sebagai tadika oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu itu akan dinaik taraf bagi membolehkannya digunakan semula untuk tujuan yang bersesuaian.
“Kita mahu memastikan bangunan tersebut dapat berfungsi seperti biasa dan dimanfaatkan semula sebab itu pengurusannya diserahkan kepada syarikat yang akan mengendalikan dan menguruskan fasiliti tersebut,” ujarnya.
Beliau juga menyatakan bahawa projek pemulihan bangunan tersebut dijangka siap sepenuhnya pada Ogos ini.
“Langkah menaik taraf kedua-dua kemudahan berkenaan adalah sebahagian usaha memperkemaskan landskap bandar raya serta meningkatkan keselesaan dan kemudahan kepada orang ramai,” katanya.
Untuk rekod, Sistem Parkir ‘Automatic Rotary Type’ di Jalan Batas Baru, Kuala Terengganu melibatkan 24 set sistem parkir untuk kereta biasa.
Satu set boleh memuatkan 10 buah kereta (saloon car), manakala jumlah keseluruhan parkir adalah untuk sebanyak 240 buah kereta. – HARAKAHDAILY 8/6/2026











