Pendedahan AFC: Perlu reformasi menyeluruh FAM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menyifatkan pendedahan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berhubung pelbagai kelemahan tadbir urus dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai sesuatu yang berat dan serius.

Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, perkara tersebut sekali gus memerlukan reformasi menyeluruh terhadap badan induk bola sepak negara itu.

- Advertisement -

Katanya, laporan dibentangkan dalam Kongres Luar Biasa (EGM) FAM menunjukkan AFC menemui kelemahan sistemik melibatkan aspek tadbir urus, kewangan, pematuhan, pembangunan bola sepak dan pentadbiran organisasi itu.

Menurut beliau, antara pendedahan paling membimbangkan ialah kegagalan FAM membentangkan dan mendapatkan kelulusan rasmi bajet tahunan dalam kongres sejak tahun 2016.

Jelasnya, perkara merupakan keperluan asas yang ditetapkan dalam statut organisasi berkenaan didedahkan selepas audit selama empat bulan dijalankan.

“Persoalannya, bagaimana sebuah organisasi yang mengurus kepentingan bola sepak negara boleh beroperasi hampir sedekad tanpa memenuhi keperluan asas tadbir urus yang diwajibkan dalam statutnya sendiri?” soalnya.

Ustaz Hanif merujuk FAM yang menerima pelbagai bentuk peruntukan, geran dan dana pembangunan daripada kerajaan, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), AFC dan pelbagai pihak berkepentingan.

Beliau berkata, keadaan itu menjadi lebih ironis apabila kelemahan berkenaan hanya terbongkar selepas campur tangan dan audit AFC, bukannya melalui mekanisme semak imbang dalaman FAM atau hasil pemantauan agensi kerajaan.

Katanya, situasi tersebut menimbulkan persoalan sama ada sistem pemantauan sedia ada benar-benar berfungsi atau sekadar memenuhi keperluan pentadbiran di atas kertas semata-mata.

“Sejauh manakah kecaknaan dan keseriusan kerajaan terhadap pelbagai isu yang berbangkit sebelum ini melibatkan FAM?” soalnya Hanif turut membangkitkan percanggahan antara kenyataan pimpinan FAM sebelum ini dengan penjelasan diberikan dalam EGM berkenaan.

Menurutnya, jawapan bekas Presiden FAM yang mengaitkan isu tersebut dengan kemungkinan berlaku ‘kecuaian’ atau ‘oversight’ dilihat bercanggah dengan kenyataan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman pada September tahun lalu.

Katanya, Setiausaha Agung FAM sebelum ini menegaskan pihaknya telah mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) selain mengemukakan laporan dan penyata berkaitan kepada Kementerian Kewangan secara berkala setiap tiga bulan.

“Kenyataan itu dibuat bagi menafikan laporan bahawa peruntukan kerajaan berjumlah RM15 juta bagi tahun 2024 dan RM15 juta bagi tahun 2025 telah diurus secara tidak teratur.

“Jika benar semua proses pemantauan, pelaporan dan pematuhan telah dilaksanakan sebagaimana didakwa, maka timbul persoalan mengapa AFC masih menemui kelemahan tadbir urus yang begitu serius sehingga memerlukan campur tangan serta pelan pembetulan khas,” katanya.

Beliau berkata, krisis yang melanda FAM perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar dan sistemik kerana ia bukan sekadar melibatkan kelemahan individu tertentu.

Katanya, isu pemain warisan yang membawa kepada tindakan FIFA, peletakan jawatan beramai-ramai EXCO FAM, kelemahan tadbir urus didedahkan AFC serta kegagalan membentangkan bajet tahunan sejak 2016 menunjukkan badan induk itu memerlukan reformasi menyeluruh.

Sehubungan itu, beliau menggesa FAM mengeluarkan penjelasan rasmi dan terperinci berhubung kegagalan yang dibongkarkan AFC selain mengumumkan pelan reformasi tadbir urus jelas, telus serta mempunyai garis masa pelaksanaan.

“Semua pihak yang bertanggungjawab terhadap kelemahan yang dikenal pasti oleh AFC juga wajar tampil memberikan penjelasan kepada ahli gabungan, penyokong bola sepak dan rakyat Malaysia.

“Bola sepak merupakan sukan nombor satu negara dan menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Sebarang kelemahan dalam pengurusannya bukan sahaja menjejaskan pembangunan sukan, malah boleh mencalarkan imej negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak boleh terus berlindung di sebalik alasan autonomi FAM sekiranya isu yang dipersoalkan melibatkan kepentingan awam, imej negara serta dana yang mempunyai kaitan langsung dengan kerajaan.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh mahu laporan penuh audit AFC terhadap FAM didedahkan kepada umum dan dibentangkan di Parlimen bagi membolehkan isu tadbir urus badan induk bola sepak negara itu dibahaskan secara menyeluruh.

Beliau berkata, pendedahan yang dibuat wakil AFC ketika Kongres Luar Biasa FAM menimbulkan persoalan serius mengenai keadaan sebenar pentadbiran badan induk itu, apatah lagi hanya sebahagian daripada hasil audit didedahkan kepada ahli kongres. – HARAKAHDAILY 8/6/2026

- Advertisement -