Kronologi kes dakwaan rasuah Zahid Hamidi

- Advertisement -

KES dakwaan rasuah dan salah guna kedudukan di Yayasan Akalbudi melibatkan Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sehingga status mutakhir pada Januari 2026, di mana kes ini telah diklasifikasikan sebagai NFA (Tiada Tindakan Lanjut).

- Advertisement -

Di mana menurut Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, kes tersebut telah ditutup sepenuhnya dan beliau tidak akan didakwa semula atas pertuduhan ini berdasarkan bukti sedia ada.

Fasa 1: Pendakwaan & Perbicaraan Awal (2018 – 2021)

19 Oktober 2018: Ahmad Zahid didakwa di Mahkamah Sesyen atas 47 pertuduhan(12 pecah amanah, 8 rasuah, 27 pengubahan wang haram) melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

18 November 2019: Perbicaraan bermula di Mahkamah Tinggi di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

19 Mac 2021: Pihak pendakwaan menutup kes mereka selepas memanggil 99 saksi dalam tempoh 53 hari perbicaraan.

Fasa 2: Perintah Bela Diri (2022)

24 Januari 2022: Mahkamah Tinggi memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie. Ahmad Zahid diperintah membela diri atas kesemua 47 pertuduhan.

13 April 2022: Ahmad Zahid mula memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi untuk membela diri.

Fasa 3: Penangguhan & DNAA (2023)

Disember 2022: Ogos 2023: Pihak pembelaan menghantar beberapa surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) memohon pertuduhan dikaji semula.

4 September 2023: Pihak pendakwaan memohon untuk memberhentikan prosiding bagi semua 47 pertuduhan. Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan (DNAA)Ahmad Zahid.

Alasan: Perlu siasatan lanjut oleh SPRM dan meneliti bukti baharu. Status DNAA bermaksud kes dihentikan sementara, tetapi tertuduh boleh didakwa semula.

Fasa 4: Siasatan Lanjut & Keputusan Muktamad (2024 – 2026)

2024 – 2025: SPRM menjalankan siasatan lanjut yang lebih terperinci susulan keputusan DNAA tersebut. Pihak AGC turut meneliti enam representasi yang dikemukakan oleh pasukan pembelaan Ahmad Zahid.

8 Januari 2026 (Khamis): Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan kenyataan rasmi memutuskan Tiada Tindakan Lanjut (NFA – No Further Action)terhadap kes ini.

Sebab Utama: Hasil siasatan lanjut SPRM dan penelitian bukti baharu menunjukkan keterangan tidak mencukupi untuk meneruskan pendakwaan.

Implikasi: Dengan keputusan NFA ini, kes dianggap selesai walaupun dipertikai dan diperdebat oleh banyak pihak, tetapi Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki tetap berkeras menyatakan kes tersebut telag sepenuhnya dan Ahmad Zahid bebas daripada risiko didakwa semula atas 47 pertuduhan ini.

Keputusan itu ujarnya, dibuat dengan penelitian menyeluruh terhadap siasatan dan penilaian pendakwaan berdasarkan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kuasa kepadanya untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan sebarang prosiding.

“(Ahmad Zahid) bebas secara muktamad, mutlak tiada masalah. Jadi, beliau tidak boleh didakwa lagi. Kita menggunakan kuasa di bawah undang-undang apabila melihat enam representasi. Saya bertindak bukan atas suka-suka, ia adalah berdasarkan fakta undang-undang yang dibangkitkan,” katanya.

Antara peguam yang memberi pandangan berbeza berkaitan kes ini, Peguam Kanan, Hanif Khatri; Ramkarpal Singh, Muhammad Rafique Rashid Ali, Datuk Mohd Zaid Ibrahim, Latheefa Beebi Koya, Asiah Jalil dan Dr Shamsher Sigh Thind.

Rumusan Status Terkini (Januari 2026): Kes telah bertukar status daripada DNAA (Dilepas Tanpa Bebas) kepada NFA (Tiada Tindakan Lanjut). Ahmad Zahid kini bebas sepenuhnya dari kes Yayasan Akalbudi. – HARAKAHDAILY 14/1/2026

- Advertisement -