Fasa 1 mendulang emas bermula di lima sungai

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan melaksanakan fasa pertama aktiviti mendulang emas melibatkan lima sungai terpilih bagi menilai keberkesanan, kawalan serta pematuhan terhadap syarat yang ditetapkan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata pelaksanaan fasa pertama itu bertujuan melihat perjalanan sebenar aktiviti berkenaan sebelum dipertimbangkan untuk diperluaskan.

- Advertisement -

Menurut beliau, sekiranya pelaksanaan berjalan lancar tanpa masalah, kerajaan negeri akan membuat kajian lanjut untuk meluaskan kawasan mendulang emas.

“Namun jika timbul sebarang isu, kita akan kenal pasti masalah dan selesaikan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pelaksanaan aktiviti mendulang emas yang dibenarkan secara berlesen oleh kerajaan negeri sewaktu sidang media selepas mesyuarat exco di sini hari ini.

Dalam penjelasannya beliau menyatakan bahawa lima sungai yang terlibat bagi fasa pertama ialah Sungai Tadoh di Jeli sepanjang empat kilometer, Sungai Gengtiang di Kuala Krai sepanjang dua kilometer, Sungai Galas di Gua Musang sepanjang dua kilometer, Sungai Bertam di Tanah Merah sepanjang dua kilometer dan Sungai Pergau di Jeli sepanjang dua kilometer.

“Sementara bagi Sungai Pergau, walaupun telah dibawa ke Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) untuk pewartaan, hanya dua kilometer sahaja dibenarkan bagi fasa pertama.

“Penandaan kawasan mendulang bermula hari ini, 14 Januari, bagi memudahkan pendulang mengenal pasti kawasan yang dibenarkan serta memudahkan pengawasan,” ujarnya.

Beliau juga berkata, setakat ini sebanyak 332 permohonan lesen mendulang emas telah diterima, dengan 178 pemohon telah membuat bayaran pemprosesan lesen, manakala selebihnya masih dalam proses tapisan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan.

“Lesen mendulang emas bagi fasa pertama dijangka dikeluarkan pada 21 Januari 2026,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa pembeli emas yang telah berdaftar dengan Pejabat Perbendaharaan Negeri setakat ini ialah TCS Aurik Sdn. Bhd. dan Jack D Bridge Sdn. Bhd.

“Emas yang dibeli oleh syarikat berkenaan dicadangkan untuk dijual kepada anak syarikat kerajaan negeri, iaitu Kelantan Gold Trade (KGT).

“Ini tidak bermakna hanya dua syarikat ini sahaja dibenarkan. Kita akan buka peluang kepada syarikat lain dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya mematuhi SOP serta syarat yang ditetapkan, khususnya berkaitan lokasi dan aspek keselamatan.

Penguatkuasaan menurutnya lagi, akan dilaksanakan dan mana-mana individu yang mendulang tanpa lesen selepas kelulusan dikeluarkan akan dianggap melakukan kesalahan.

“Tanah ini adalah tanah kerajaan. Peluang diberikan secara terbuka. Tiada tuntutan kawasan oleh mana-mana pihak selagi berada dalam kawasan yang ditandakan dan memiliki lesen sah,” katanya.

“Pelaksanaan fasa pertama ini akan dipantau rapi bagi memastikan kebajikan pendulang terpelihara serta kepentingan kerajaan negeri dapat dijaga,” katanya. –HARAKAHDAILY 14/1/2026

- Advertisement -