‘Glamping with Pride’: Bukan kemungkaran kecil dalam Islam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) memandang serius kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan yang menyifatkan penganjuran program bertema ‘Glamping with Pride’ sebagai isu kecil.

Ketua Penerangan DUPP, Ustaz Dato’ Mohd Nor Hamzah berkata, dalam neraca Islam, tidak wujud istilah ‘kemungkaran kecil’ apabila sesuatu perbuatan melibatkan usaha menormalisasikan perkara yang jelas bercanggah dengan fitrah, syarak dan nilai agama.

- Advertisement -

Menurutnya, sesuatu kemungkaran hanya kelihatan kecil kepada mereka yang memilih untuk memperkecilkan dosa dan mengendurkan kewajipan amar makruf nahi mungkar.

“Islam mendidik umat agar peka terhadap kerosakan pada peringkat awal, kerana kebinasaan besar sering bermula daripada kelalaian terhadap perkara yang dianggap kecil.

“Justeru, teguran dan kebimbangan yang dizahirkan masyarakat beragama wajar diraikan, bukan diketepikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas nasihat Menteri Agama agar masyarakat memberi tumpuan kepada perkara lain yang dianggap lebih membina berbanding isu penganjuran program tersebut.

Mengulas lanjut, Mohd Nor berkata pendekatan memperlekeh, meremeh atau mengabaikan kemungkaran bukanlah manhaj Islam, bahkan bercanggah dengan ajaran Rasulullah SAW.

Beliau menegaskan, Menteri Agama bukan sekadar individu biasa, sebaliknya memegang autoriti dan amanah negara yang mewajibkan tindakan melalui kuasa, bukan sekadar pemantauan.

“Kenyataan yang memberi gambaran seolah-olah isu ini remeh dan tidak perlu ditangani secara tegas hanya akan membuka ruang kepada keberanian pihak tertentu untuk terus mencabar nilai Islam di negara ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, DUPP menyeru agar Menteri mencontohi pendekatan tegas dan berprinsip seperti yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Terengganu.

Tambah beliau, Terengganu bukan sahaja membendung penganjuran program berunsur songsang, malah melaksanakan langkah kesedaran, pendidikan dan pencegahan secara menyeluruh.

“Kami yakin bahawa mempertahankan nilai bukan halangan kepada kemajuan, sensitiviti agama adalah tanda kematangan masyarakat dan pembangunan sebenar hanya bermakna apabila kemajuan material seiring dengan keteguhan akhlak.

“Mengabaikan kemungkaran atas nama ‘progresif’ dan ‘dinamik’ hanya akan membawa kepada kerosakan yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/1/2026

- Advertisement -