
AYER KEROH: Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka menolak sebarang usaha untuk menormalisasikan budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negeri itu kerana ia jelas bercanggah dengan ajaran Islam, nilai budaya serta norma kehidupan masyarakat tempatan.
Dalam satu kenyataan, sayap pemuda parti itu menegaskan bahawa Islam secara jelas mengharamkan perbuatan songsang dan perkara tersebut tidak boleh diterima sama ada secara terbuka mahupun tersirat dalam ruang awam atau industri perkhidmatan.
Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Melaka memandang serius isu tular membabitkan sebuah hotel di Melaka yang dikaitkan dengan label ‘gay friendly’ yang disifatkan sebagai cubaan mengabsahkan atau mempromosikan gaya hidup LGBT melalui simbol, promosi atau naratif tertentu.
Menurut kenyataan tersebut, walaupun pihak pengurusan hotel berkenaan dilaporkan telah memohon maaf dan mengambil langkah menutup operasi sementara, isu sebenar tidak seharusnya dilihat selesai semata-mata dengan penutupan premis, sebaliknya membabitkan prinsip penolakan terhadap normalisasi budaya songsang dalam ruang awam.
“Melaka bukan medan eksperimen ideologi liberal dan songsang yang bercanggah dengan Islam serta nilai masyarakat tempatan,” ujar kenyataan itu.
Dewan Pemuda PAS Melaka turut menegaskan bahawa sebarang promosi atau perkhidmatan yang mencabar sensitiviti agama dan moral awam perlu disiasat secara menyeluruh serta ditangani dengan tindakan tegas oleh pihak berkuasa tanpa sebarang kompromi.
Selain itu tambah kenyatan itu, kerajaan negeri digesa supaya tidak berdiam diri dalam isu yang melibatkan akidah, maruah agama dan ketenteraman sosial demi memelihara keharmonian masyarakat majmuk di negeri bersejarah itu.
“Kami menyokong gesaan agar siasatan menyeluruh dijalankan dan tindakan sewajarnya diambil sekiranya wujud pelanggaran undang-undang atau garis panduan sedia ada.
“Ketegasan ini penting bagi memastikan Melaka, negeri pelancongan yang terus kekal sebagai negeri yang menjunjung Islam sebagai agama Persekutuan serta memelihara keharmonian masyarakat majmuk tanpa mengorbankan prinsip asas agama dan budaya,” ulasnya.
Kenyataan berkenaan turut menyatakan bahawa toleransi tidak boleh disamakan dengan menghalalkan perkara yang jelas bertentangan dengan agama dan fitrah manusia, manakala hak asasi tidak wajar dijadikan alasan untuk menormalisasikan perlakuan songsang.
Menurut Dewan Pemuda PAS Melaka juga, pendekatan pencegahan, ketegasan dasar dan kejelasan pendirian amat penting bagi memastikan generasi muda tidak dikelirukan dengan fahaman yang boleh merosakkan nilai diri, institusi keluarga dan masyarakat.
“Budaya LGBT bukan nilai rakyat Melaka,” tegas kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 14/1/2026











