‘PAS bukan makin lemah, tapi Umno makin ditolak rakyat’

Razman bidas Zahid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Razman Zakaria menyifatkan kenyataan Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berharap PAS ‘terbubar sendiri’ sebagai angkuh, tidak berasas dan menafikan realiti politik semasa.

Menurut beliau, perkembangan semasa menunjukkan PAS bukan semakin lemah, sebaliknya terus mengukuh dan mendapat sokongan rakyat, manakala Umno pula berdepan kemerosotan berterusan sejak beberapa pilihan raya lalu.

- Advertisement -

Jelasnya, jika merujuk prestasi Pilihan Raya Umum (PRU), angka rasmi membuktikan Umno semakin ditolak rakyat apabila kerusi Parlimennya merosot daripada 88 kerusi pada PRU13, kepada 54 kerusi pada PRU14 dan hanya 26 kerusi pada PRU15.

“Ini bukan persepsi, tetapi angka rasmi yang menunjukkan Umno semakin ditolak rakyat,” ujar Razman yang juga Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, situasi itu berbeza dengan PAS yang mencatat peningkatan ketara dan muncul antara parti memiliki jumlah kerusi Parlimen terbanyak pada PRU15.

Beliau turut menegaskan bahawa prestasi Umno di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) juga menunjukkan kemerosotan serius, khususnya di negeri majoriti Melayu.

Katanya, Umno bukan sahaja merosot di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu, malah hampir tidak relevan di Pulau Pinang serta bergantung kepada rakan politik di Perak dan Selangor.

“Pilihan Raya Negeri Sabah terbaru pula menunjukkan Umno bertanding dengan penuh keyakinan, namun gagal mencatat kemenangan bermakna, sekali lagi menolak naratif Umno kononnya masih kuat,” tempelaknya.

Razman berkata, faktor rasuah turut menjadi punca utama penolakan rakyat terhadap Umno, yang menurutnya sinonim dengan pelbagai skandal besar termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB), isu Yayasan Akal Budi dan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Selain itu beliau menegaskan, Umno hari ini tidak lagi mengamalkan demokrasi dalaman apabila pemimpin yang menegur isu parti berdepan tindakan disiplin termasuk pemecatan dan penggantungan.

“Soalnya, berapa ramai pemimpin Umno terpalit rasuah dan salah guna kuasa? Dan berapa ramai yang akhirnya menegur tetapi akhirnya dipecat atau dihukum oleh parti?

“Umno hari ini bukan Umno lama. Ia telah berubah, tegur isu 1MDB, pemimpin dipecat. Tegur slogan ‘No DAP, No Anwar’, pemimpin digantung dan disingkirkan. Seolah-olah Umno sudah tiada prinsip.

“Ini bukti Umno tidak lagi mengamalkan demokrasi dalaman, sebaliknya mengamalkan budaya diktator dan kepimpinan takut ditegur,” bidasnya.

Razman turut mengkritik perubahan pendirian Umno yang menurutnya telah menggadaikan prinsip dengan menjalin kerjasama bersama DAP demi kelangsungan kuasa.

Sebaliknya, beliau menegaskan PAS kekal kukuh berteraskan dasar Islam, bebas rasuah dan semakin mendapat kepercayaan rakyat pelbagai lapisan.

“Jika ada parti yang sedang menuju pembubaran secara semula jadi akibat ditolak rakyat, Umno-lah parti tersebut. Hakikat yang perlu ditelan oleh pemimpin Umno ialah PAS terus mara, Umno terus merosot,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Razman mengajak ahli Umno yang simpati terhadap isu titah adendum membabitkan bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak serta menolak kerjasama Umno-DAP supaya bersama Perikatan Nasional bagi memperbetulkan semula hala tuju negara. – HARAKAHDAILY 14/1/2026

- Advertisement -