Masterclass 9.0 perkasa kompetensi pentadbir negeri

Dr Mohamed Fadzli Hassan
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan komited memperkukuh keupayaan dan kompetensi pentadbir melalui penganjuran Program Masterclass 9.0 yang memberi tumpuan kepada isu-isu tadbir urus semasa di peringkat negeri, nasional dan antarabangsa.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, dalam melaksanakan amanah pentadbiran, pemerkasaan pengetahuan, kemahiran dan kefahaman terhadap perkembangan semasa perlu sentiasa diberi keutamaan.

- Advertisement -

“Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kompetensi pentadbir baharu melalui percambahan ilmu, wacana dan perbincangan bersama tokoh-tokoh berpengalaman serta pakar dalam pelbagai bidang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Masterclass 9.0 Bagi Ahli Pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, di sini.

Majlis perasmian program disempurnakan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.

Menurut Mohamed Fadzil lagi, program berkenaan dirangka secara berfokus, praktikal dan berimpak tinggi selaras dengan keperluan semasa pentadbiran negeri.

“Pendedahan tersebut penting bagi memperkukuh keupayaan pentadbir memahami isu tadbir urus negara dan pembangunan sejagat, seterusnya membentuk keupayaan membuat keputusan yang lebih berkesan serta memperkukuh pelaksanaan dasar kerajaan negeri,” ujarnya.

Tambah beliau, kurikulum Masterclass 9.0 melibatkan penyertaan pentadbir, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Negara, Ahli Dewan Rakyat serta pegawai-pegawai yang masih berkhidmat bagi memastikan keseragaman kefahaman dan kesinambungan dasar.

Program berkenaan turut menampilkan pembentangan kertas kerja bertajuk Tadbir Urus dan Kepimpinan oleh bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan @ Harun.

Sesi Masterclass 9.0 kali ini memberi tumpuan kepada perbincangan berkaitan transformasi portal di Institut Pembangunan Latihan dan Pengurusan (IPLP), isu perbankan serta aspek persempadanan pilihan raya yang mempunyai implikasi terhadap tadbir urus dan pentadbiran negeri.

“Diharap peserta dapat memanfaatkan sepenuhnya sesi perkongsian tersebut dan mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam tugas pentadbiran serta pelaksanaan dasar kerajaan negeri,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/1/2026

- Advertisement -