
TANGGA BATU: Muzium Kebudayaan Cheng Ho yang terletak di Jonker Street Melaka wajar dijadikan lokasi pilihan bagi pelancong-pelancong yang datang melancong ke negeri itu.
Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin berkata, ia kerana banyak maklumat tentang perkembangan Islam di Nusantara boleh diperolehi dari maklumat yang dipaparkan di situ.
“Di situ kita akan dapat lihat sejarah bagaimana Laksamana Cheng Ho datang (ke Melaka); bagaimana dia berdagang; bagaimana dia bawa pendakwah; bagaimana di Indonesia ada 16 buah masjid yang ada nama Cheng Ho.
“Kita di Melaka kita bangga Laksamana Cheng Ho pernah datang ke Melaka bawa Puteri Hang Li Po, tapi tak ada satu masjid pun yang ada nama Cheng Ho,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka menambah, catatan sejarah menunjukkan bahawa bapa kepada Cheng Ho merupakan gabenor di Yunan, China yang dipercayai dipimpin oleh Raja Dinasti Ming yang beragama Islam.
“Saya pernah ke Chiang Mai. Ada enam buah masjid lama didirikan oleh orang Islam berbangsa Cina di situ. Sebelum ini kita sangka dibina oleh orang Fatani. Tetapi bukan.
“Masjid-masjid ini dibina oleh etnik Cina Muslim di situ yang berasal dari Yunan yang masa itu merupakan kerajaan Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi dialog bersama dengan rombongan kakitangan Urus Setia Wanita Terengganu (USWA) Terengganu di Dewan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tangga Batu, di sini, pagi semalam.
Jelas Bakri lagi, senibina masjid lama yang hampir sama antara masjid di Kelantan, Thailand, Vietnam dan Indonesia menunjukkan bahawa Islam di Nusantara dibawa dari Negara China.
“Jadi saya cadangkan pergilah melawat Muzium Cheng Ho ni. Ia lebih baik daripada kita melawat tinggalan-tinggalan penjajah seperti kapal Portugis dan bangunan-bangunan penjajah,” katanya.
Dalam program yang berlangsung pagi tadi itu, seramai 39 orang peserta yang terdiri dari kakitangan dan keluarga USWA mengunjungi Ahli Parlimen Tangga Batu dalam rangka lawatan ke Negeri Melaka dari Jumaat hingga Sabtu.
Sementara itu, Pengarah USWA, Tuan Roslina Tuan Sulaiman dalam ucapannya menjelaskan bahawa USWA adalah sebuah urusetia di bawah Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu.
Tambahnya, USWA bertanggungjawab menjalankan aktiviti berkaitan wanita yang menumpu kepada aktiviti kebajikan dan pembangunan wanita di negeri itu.
“Antara program yang kita lakukan di Terengganu ialah Terengganu Hijab Day yang telah masuk tahun ke enam. Kita harap program ini Melaka pun boleh buat,” katanya.
Tambah beliau, program-program tersebut telah dilaksanakan mereka sebelum PAS membentuk kerajaan di Terengganu lagi dan ia diteruskan dalam urusetia tersebut selepas itu.
Roslina turut menzahirkan ucapan terima kasih atas kesudian pihak Pusat Khidmat Parlimen Tangga Batu menerima kehadiran mereka bagi program tersebut.
“Sebenarnya selain daripada meraikan pegawai dan kakitangan USWA, objektif kami datang ke Melaka ini ialah untuk meraih ilmu.
“Daripada awal tadi kami telah dihidangkan dengan ilmu yang YB Bakri sampaikan tadi. Itulah gambaran yang kami dapat di Negeri Melaka ini,” katanya.
Turut serta dalam rombongan ini ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Ustaz Ridzuan Hashim yang juga ADUN Buluh Gading dan Penolong Pengarah Kanan (Operasi) USWA, Sumaiyah Zakaria.
Turut meraikan kehadiran rombongan ini ialah Ketua Dewan Muslimat PAS (DMP) Kawasan Tangga Batu yang juga Timbalan Ketua DMP Negeri Melaka, Ustazah Siti Khadijah Mahmud, isteri kepada Ahli Parlimen Tangga Batu, Kamariah Abdul Rahim bersama beberapa orang lagi ahli jawatankuasanya. – HARAKAHDAILY 3/1/2026



















