
MALAYSIA hari ini seolah-olah sedang berada di persimpangan besar dalam menentukan wajah sebenar industri pelancongannya. Dalam keterujaan mengejar angka pelaburan, jumlah pelancong dan capaian media sosial, negara semakin dilihat cenderung menjadikan budaya hiburan luar sebagai produk utama pelancongan negara.
Program seperti Rain Rave Water Festival 2026 di Bukit Bintang yang dikatakan berjaya menarik hampir 180,000 pengunjung serta menjana sekitar RM200 juta kepada ekonomi pelancongan dijadikan simbol kejayaan baharu sektor ini.
Namun persoalan lebih besar yang perlu dijawab, adakah pembangunan pelancongan negara hari ini sedang bergerak atas asas identiti Malaysia sendiri atau sekadar meniru model hiburan global yang tidak selari dengan budaya dan nilai masyarakat tempatan?
Pendekatan Kerajaan Madani dalam sektor pelancongan wajar dinilai semula secara lebih kritikal. Gagasan Madani sering membawa naratif pembangunan insan, kemampanan sosial dan pemerkasaan nilai budaya.
Namun dalam pelaksanaan sebenar, pendekatan yang terlalu meraikan festival hiburan berskala besar tanpa penilaian mendalam terhadap impak sosial menimbulkan persoalan tentang konsistensi dasar tersebut.
Pelancongan tidak boleh diukur semata-mata melalui jumlah transaksi ekonomi atau populariti digital. Negara memerlukan model pembangunan pelancongan yang bukan sahaja menguntungkan tetapi juga memperkukuh jati diri nasional, menjaga sensitiviti budaya dan membina masyarakat yang seimbang dari sudut sosial serta moral.
Ironinya, Malaysia sebenarnya memiliki kekuatan jauh lebih besar yang masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.
Laporan Global Muslim Travel Index (GMTI) menganggarkan industri pelancongan halal global bakal mencapai nilai sekitar USD225 bilion menjelang tahun 2028.
Malaysia pula mempunyai kelebihan strategik yang sukar ditandingi, sistem pensijilan halal yang diyakini dunia, makanan halal yang pelbagai, budaya Timur yang sopan, masjid ikonik, hospitaliti keluarga serta kestabilan sosial yang baik.
Ini adalah aset bernilai tinggi dalam pasaran global masa kini, khususnya ketika pelancong antarabangsa semakin mencari pengalaman perjalanan yang autentik, selamat dan berteraskan budaya tempatan.
Malangnya, potensi besar ini sering tenggelam kerana negara lebih ghairah mempromosikan acara hiburan sensasi yang bersifat sementara dan viral.
Lebih membimbangkan, apabila keuntungan ekonomi dijadikan justifikasi utama sesuatu program, kesan sosial jangka panjang sering dipinggirkan.
Negara tidak boleh membina ekonomi pelancongan dengan mengorbankan identiti budaya dan kesejahteraan sosial generasi muda.
Malaysia mempunyai terlalu banyak produk yang lebih ‘marketable’ untuk dipasarkan kepada dunia, daripada pelancongan warisan Melayu-Islam, seni dan budaya tempatan, makanan tradisional, eko-pelancongan hinggalah kepada industri kreatif berteraskan nilai ketimuran.
Inilah kekuatan sebenar Malaysia yang membezakan kita daripada negara lain, bukannya dengan meniru festival hiburan luar yang akhirnya menjadikan identiti negara semakin kabur.
Malaysia memerlukan keberanian untuk kembali membina dasar pelancongan berasaskan identiti sendiri. Negara-negara maju yang berjaya dalam industri pelancongan tidak membangun dengan meninggalkan budaya mereka, sebaliknya memasarkan keunikan tamadun dan nilai tempatan sebagai kekuatan utama.
Jika Kerajaan Madani benar-benar mahu membina negara yang berteraskan nilai, maka pendekatan pelancongan negara juga mesti bergerak dalam kerangka yang sama- mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan tanggungjawab sosial, budaya dan pembinaan karakter bangsa.
Kerana akhirnya, pelancongan bukan sekadar tentang jumlah wang yang masuk tetapi tentang identiti negara yang ditonjolkan kepada dunia.
NUR FARHANA OMAR
Ketua Penerangan
Dewan Muslimat PAS Negeri Perak
– HARAKAHDAILY 6/5/2026

















