PRN Sabah: Beri peluang kepada calon berintegriti

Dr Afifi Saif bertanya khabar anak kariah selepas solat Zohor di Masjid Daerah Putatan.
- Advertisement -

PUTATAN: Dr. Afifi Saif menyeru para pengundi supaya memberikan peluang kepada kepimpinan baharu yang lebih bersih dan berpaksikan integriti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 ini.

- Advertisement -

“Pada 29 November nanti, beri peluang pula kepada wajah-wajah baharu bakal kepimpinan negeri,” katanya selaku calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi DUN Petagas.

Beliau turut memberi respons ekoran kebetulan bertemu calon yang turut bertanding di DUN tersebut, semalam.

“Pertemuan ringkas tetapi mesra itu memperlihatkan nilai kematangan berpolitik yang semakin dituntut rakyat, jauh daripada budaya permusuhan dan perbalahan tidak berkesudahan,” ujarnya ketika ditemui selepas sesi ziarah.

Menurutnya, pertemuan itu mencerminkan hakikat bahawa walaupun berbeza parti dan pendekatan, matlamat yang dibawa tetap sama yakni kebaikan buat rakyat terbanyak.

“Kita mungkin berbeza parti atau berbeza cara fikir. Tapi tujuan besarnya tetap satu iaitu membela rakyat.

“Di Petagas, kita tidak mahu politik gaduh, politik kutuk, atau politik balas dendam. Rakyat sudah penat dengar orang bercakap besar tapi tiada penyelesaian,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Petagas memerlukan politik yang memimpin ke arah penyelesaian, bukan politik yang mencari salah demi kepentingan tertentu.

“Apa yang rakyat perlukan sekarang ialah politik yang tunjuk jalan, bukan politik yang cari salah. Sebab itu saya menawarkan khidmat melalui PERIKATAN NASIONAL, sebagai calon segar dan wajah baharu,” jelasnya.

Dr Afifi turut menekankan bahawa kepimpinan masa kini harus bertunjangkan ilmu, integriti dan tindakan, bukan retorik dan serangan peribadi.

“Kita mahu fokus pada solusi, bukan sensasi. Kita mahu cari cara untuk ‘Kasi Bagus Petagas’, bukan tambah masalah. Rakyat tidak mahu lagi politik yang terperangkap mengungkit salah wakil rakyat sebelumnya.

“Isu rakyat mesti diselesaikan dengan akhlak, bukan maki hamun,” ujarnya yang berdepan sembilan lagi calon yang bertanding di DUN Petagas.

Beliau menegaskan komitmen PN untuk membawa politik yang matang dan stabil ke Petagas.

“Kita mahu politik yang baiki jalan, bukan politik yang buat jalan buntu. Kita mahu politik yang bantu rakyat, bukan yang pecah belah. Kita mahu politik yang bekerja, bukan bersandiwara,” tambahnya.

“Pada 29 November nanti, beri peluang kepada wajah-wajah baharu untuk membawa masa depan khususnya di Petagas ke tahap yang lebih baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/11/2025

- Advertisement -