Tuduhan liar DAPSY bercanggah titah Sultan Perak

Khalil Yahaya
- Advertisement -

​IPOH: PAS Negeri Perak menyelar tindakan Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan, Woo Kah Leong yang melemparkan tuduhan liar serta provokasi politik murahan kononnya PAS sedang ‘bermimpi di siang hari’.

- Advertisement -

​Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Perak, Ustaz Khalil Yahaya menyifatkan kenyataan tersebut sebagai satu cubaan terdesak musuh politik untuk memburukkan imej PAS, sekaligus mengalihkan perhatian rakyat daripada isu-isu yang lebih mendasar.

​Menurutnya, tindakan Woo yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (AMMK) Negeri Perak itu jelas bercanggah dengan semangat titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menasihati pemimpin agar tidak menjadikan negara ini sebagai ‘rumah sengketa’.

​“PAS Negeri Perak ingin mengingatkan Ketua DAPSY ini bahawa matlamat setiap parti politik adalah untuk bertanding dan menubuhkan kerajaan, sama seperti matlamat DAP.

​“Nasihat murahan Saudara Woo agar PAS fokus kepada ‘kerusi pertama di Sabah dahulu’ adalah tidak relevan dan hanyalah satu taktik yang cetek untuk memperlekehkan usaha PAS. PAS berhak untuk berjuang di mana-mana sahaja di bumi Malaysia,” katanya.

​Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubu Gajah berkata, PAS Perak melihat Woo hanya cuba menghangatkan suhu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dengan retorik politik yang tidak berasas.

​Khalil menyatakan, label negatif yang dilemparkan hanyalah usaha menutup kegagalan pihak lawan dan mengalihkan perhatian pengundi daripada tawaran sebenar PERIKATAN NASIONAL (PN) yang menjanjikan kepimpinan berintegriti, adil serta fokus membangunkan rakyat Sabah.

​“Sikap berpolitik Saudara Woo Kah Leong yang bersifat serang peribadi menunjukkan ketidakmatangan politik dan kurangnya fokus terhadap isu-isu rakyat yang kritikal.

​“Adalah lebih penting untuk DAPSY melihat kepada kegagalan mereka sendiri, yang kini terpalit dengan isu-isu yang membimbangkan rakyat,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, tindakan Woo memuat naik hantaran di laman Facebook menggunakan gambar Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin yang sedang berbaring memeluk roti Gardenia disifatkan sebagai ‘biadab’.

Lebih mengecewakan, hantaran tersebut masih belum diturunkan sehingga kini, sedangkan Tuan Guru kini dilaporkan sedang menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar akibat masalah kesihatan.

Sehubungan itu Khalil menegaskan, serangan peribadi dan politik dendam sebegini adalah bertentangan dengan titah Sultan Perak sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda pada 9 November lalu.

​“Baginda bertitah secara jelas mengingatkan bahawa rakyat tidak harus dijadikan mangsa persengketaan politik yang bagaikan tiada penghujungnya, sedangkan negara lebih memerlukan sumber tenaga dan kekayaan ditumpukan kepada kerja-kerja yang lebih produktif,” jelasnya.

Tindakan Woo Kah Leong yang melemparkan tuduhan liar serta provokasi politik murahan terhadap PAS Perak.

Justeru, PAS Perak menasihatkan DAPSY supaya bersaing secara sihat dengan membahaskan isu substantif yang memberi manfaat kepada rakyat Sabah seperti kos sara hidup, akses pendidikan, kesihatan serta pembangunan luar bandar.

​“Rakyat Sabah yang matang mampu membezakan antara janji kosong dan tawaran kepimpinan yang benar-benar beriltizam.

​“PAS Negeri Perak menyeru semua 1,784,843 pengundi yang layak dalam PRN Sabah kali ini untuk menggunakan kuasa undi mereka pada 29 November ini bagi memilih kepimpinan yang telus dan amanah,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/11/2025

- Advertisement -