
KOTA KINABALU: Datuk Dr Aliakbar Gulasan berkata, sudah sampai masanya agenda pembangunan Karambunai memberi tumpuan kepada pembinaan sebuah pasar berpusat bagi meningkatkan peluang ekonomi penduduk setempat.
“Saya rasa sampai masanya antara perkara yang menjadi agenda perjuangan dalam konteks Karambunai adalah mewujudkan pasar berpusat, yang mungkin boleh memberi ruang untuk masyarakat kita berniaga.
“Saya yakin sebenarnya masyarakat kita suka berniaga tapi tempat ataupun ruang itu tiada,” katanya ketika ditemui media selepas Program Bacaan Yassin dan Solat Hajat di Kampung Unggun, kelmarin. (Foto atas)
Menurut calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi DUN Karambunai itu, kewujudan pasar berpusat bukan sahaja akan membuka lebih banyak peluang untuk usahawan kecil, malah dapat mengukuhkan ekosistem ekonomi setempat.
Dr Aliakbar turut menjelaskan bahawa Karambunai memiliki keunikan dari segi kedudukannya yang turut merangkumi kawasan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).
Tambahnya lagi, perancangan rapi melibatkan pelbagai agensi dan pihak berkepentingan perlu dilakukan bagi memastikan pembangunan yang dicadangkan benar-benar memenuhi keperluan masyarakat.
“Saya rasa di antara benda yang perlu ditengok dan dibincang adalah perbincangan pelbagai pihak dan saya lihat ada juga beberapa agensi yang memiliki tanah dalam Karambunai ini, saya rasa untuk masa depan itu tidak menjadi kesukaran untuk mencari tanah ataupun tapak untuk dijadikan pasar awam,” ujarnya.
Jelasnya, inisiatif tersebut bukan sahaja berfungsi sebagai pusat jual beli, malah berpotensi menjadi pusat tumpuan komuniti dan pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi lebih mapan.
Tambahnya, hal itu selari dengan keperluan penduduk yang semakin berkembang serta aspirasi meningkatkan taraf hidup masyarakat khususnya di Karambunai.
Justeru, Dr Aliakbar menyeru semua pihak termasuk agensi kerajaan, pemain industri, dan komuniti setempat untuk duduk semeja membincangkan pembangunan pasar berpusat itu.
Beliau yakin kerjasama yang terjalin dapat menghasilkan satu pelan pembangunan yang inklusif dan memberi manfaat jangka panjang kepada seluruh warga Karambunai. – HARAKAHDAILY 20/11/2025




















