
PUTATAN: “Di Petagas ini, kita semua mahu satu benda yang sama, kepimpinan yang boleh dipercayai. Bukan sekadar janji, tapi kerja yang nampak, hati yang bersih, dan tujuan yang jelas,” kata Dr Mohd Afifi Shaiffuddin.
Menurutnya, sebab itu PERIKATAN NASIONAL (PN) menghantar calon turun ke gelanggang bukan untuk glamor atau jawatan.
Sebaliknya, kata beliau ianya untuk membawa suara orang Petagas ke depan dengan cara yang bersih, berintegriti, dan bebas daripada permainan lama yang menyusahkan rakyat.
“Kita mahu Petagas mendapat peluang pendidikan sepanjang hayat, kebajikan rakyat terjaga, peluang anak muda membina hidup yang makin terbuka, memperkasa warisan budaya etnik tempatan, pengurusan penjagaan alam sekitar.
“Tapi semua ini hanya boleh jadi kalau pemimpin kita bersih daripada rasuah dan ketirisan,” ujarnya selaku calon PN bagi DUN Petagas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 ini.
Beliau dalam catatan di laman sosialnya menjelaskan, PN membawa mesej jelas iaitu ‘Ketelusan, Integriti, Tanggungjawab’.
“Kita berdiri atas prinsip yang sama, kepimpinan yang nda main-main dengan duit rakyat, dan nda kompromi dengan integriti,” katanya.
“Di Petagas, kita mahu perubahan yang kita boleh rasa. Kita mahu pemimpin yang buka pintu kepada rakyat, bukan hanya waktu pilihan raya tetapi setiap masa.
“Kalau kita sama-sama percaya Petagas boleh melangkah lebih jauh, kalau kita mahu Sabah lebih stabil, lebih sejahtera
“Mari kita ‘Kasi Bagus Petagas, Kasi Bagus Sabah’ dengan kepimpinan bersih, bebas rasuah, dan berintegriti,” tambahnya lagi.
Katanya lagi, setiap undi sangat berharga yang akan membawa perubahan besar kepada masyarakat.
“Setiap undi anda sangat berharga, setiap pilihan akan membawa perubahan besar khususnya untuk masyarakat sekitar N23 Petagas.
“10 hari lagi untuk kamurang pilih calon pemimpin yang dekat dihati kamurang, yang benar-benar memahami dan mendengar denyut nadi komuniti.
“Urang Petagas, undi kamu untuk saya,” ujarnya.
Pada PRN kali ini, Dr Afifi berdepan saingan dengan sembilan lagi calon di DUN Petagas yang mempunyai 20,116 pengundi berdaftar.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia menetapkan hari mengundi pada 29 November manakala pengundian awal 25 November.
Seramai 1,784,843 pengundi layak mengundi pada PRN kali ini yang terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan. – HARAKAHDAILY 19/11/2025




















