
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor digesa mengambil pendekatan lebih proaktif dalam memantau kualiti kerja kontraktor jalan raya serta menyelesaikan isu ancaman anjing liar yang semakin meruncing sehingga meragut nyawa.
Noor Najhan Mohamad Salleh (PN-Sementa) mencadangkan pelaksanaan ‘Sistem Pemantauan Kontraktor Hijau, Kuning, Merah’ berdasarkan prestasi kerja, selain mengenakan tindakan gantung tender selama 12 bulan kepada kontraktor yang disenaraikan merah.
“Isu utamanya bukan sekadar pembaikan tetapi kualiti kerja kontraktor yang sering tidak memuaskan dan tidak tahan lasak. Audit rawak oleh pihak ketiga juga perlu dilakukan ke atas kerja-kerja turapan bagi memastikan piawaian dipatuhi,” katanya.
Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Kapar mengemukakan demikian ketika membahaskan Belanjawan Selangor 2026 pada persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini semalam.
Beliau turut mendesak agar pembaikan Jalan Iskandar Bukit Kapar yang mendap sedalam dua kaki akibat kenderaan berat disegerakan, selain memohon pemasangan lampu jalan memandangkan kawasan tersebut gelap dan telah mengundang kemalangan.
Noor Najhan turut membangkitkan kes tragis seorang jururawat dan ibu tunggal, Allahyarhamah Fatimatun Zahara Ismail Kamil yang maut selepas motosikalnya terlanggar anjing liar di Jalan Merbau, Kampung Perepat pada Julai lalu.
Tegasnya, insiden tersebut membuktikan isu anjing liar bukan lagi perkara remeh tetapi ancaman keselamatan awam yang serius.
“Kejadian ini mengundang kemarahan penduduk yang sudah lama menzahirkan kebimbangan. Aduan telah dibuat berulang kali namun tiada tindakan tuntas diambil.
“Sikap menunggu tragedi untuk bertindak adalah tidak bertanggungjawab. Saya mencadangkan kesemua 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memaparkan data bulanan aduan, tangkapan dan program TNR (Trap-Neuter-Release) secara telus,” ujarnya.
Dalam pada itu, Noor Najhan turut menyuarakan rintihan penduduk di Sementa, Bukit Kapar dan Rantau Panjang yang masih dibelenggu masalah banjir walaupun pelbagai janji telah ditaburkan.
“Rakyat sudah penat dengan kenyataan ‘projek sedang dilaksanakan’ atau ‘dalam kajian’. Mereka mahukan tindakan bukannya janji.
“Saya menyeru laporan kemajuan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dibentangkan kepada ahli-ahli dewan termasuk pembangkang setiap empat bulan bagi memastikan ketelusan,” katanya.
Beliau turut memohon perincian status peruntukan RM26 juta bagi mengatasi banjir di Bukit Kapar serta laporan tindakan berhubung pencemaran air di parit utama Jalan Kunci Air, Kampung Perepat yang masih berulang.
Menyentuh mengenai pelaburan dan pekerjaan, Noor Najhan meminta kerajaan negeri membentangkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang jelas mengenai peratusan peluang pekerjaan berkualiti untuk anak Selangor daripada pelaburan bernilai RM34.65 bilion yang diterima.
“Rakyat bimbang dilimpahi pelaburan teknologi tinggi tetapi hanya ditawarkan jawatan operator dengan upah rendah,” jelasnya.
Beliau juga mencadangkan insentif rumah hijau, program usahawan pertanian belia dan penubuhan bank makanan serta bank benih negeri bagi memastikan keterjaminan makanan di Selangor yang kini bergantung 70 hingga 90 peratus kepada import. – HARAKAHDAILY 19/11/2025











