Bajet Selangor 2026 pinggir sektor pertanian, nelayan

- Advertisement -

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor meminggirkan sektor pertanian dan perikanan dalam Belanjawan Selangor 2026 apabila hampir tiada peruntukan atau inisiatif khusus diumumkan untuk golongan petani dan nelayan.

- Advertisement -

​Mohd Razali Saari (PN-Sungai Panjang) berkata, belanjawan tersebut dilihat terlalu tertumpu kepada teras kecerdasan buatan (AI), infrastruktur dan tadbir urus, namun gagal mengintegrasikan teknologi pertanian moden (agritech) sebagai pemacu ekonomi.

​Menurutnya, ketiadaan penekanan strategik ini bercanggah dengan prinsip kesejahteraan menyeluruh yang dilaungkan kerajaan negeri, sekali gus menyebabkan golongan rentan seperti pesawah, pekebun kecil dan nelayan terus tersisir.

​“Apa yang kita lihat dalam belanjawan ini, peruntukan hampir sifar. Kalau digabungkan pun sekitar RM18.5 juta sahaja, iaitu 0.6 peratus daripada keseluruhan belanjawan RM3.23 bilion.

​“Jumlah ini jauh lebih rendah daripada bajet untuk karnival kerjaya atau program ‘gallery hoping’ Selangor. Sedangkan Selangor masih mengimport 90 peratus beras dan 95 peratus ikan laut. Belanjawan ini tidak menunjukkan usaha serius ke arah keterjaminan makanan,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Selangor 2026 pada persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini semalam.

​Mohd Razali menegaskan bahawa daerah Sabak Bernam merupakan gedung makanan utama negeri dengan keluasan tanaman padi mencecah 24,098 hektar dan nilai jualan RM220.10 juta, menyumbang lebih 60 peratus nilai jualan padi Selangor.

​Malah katanya, subsektor ternakan merekodkan nilai jualan RM3.16 bilion manakala perikanan mencecah RM1.39 bilion pada tahun lalu.

​“Namun, kawasan sawah padi di barat laut Selangor semakin terhakis akibat pembangunan. Ada tanah berekar-ekar dijadikan lapangan terbang, ada yang dibuat vila yang mencuri air.

​“Tanah semakin hari dijadikan tempat untuk manusia mencari keuntungan, bukan untuk berbakti. Nasib nelayan di Bagan, Sungai Besar, Jeram hingga ke Tanjung Sepat langsung tidak disebut,” ujarnya kesal.

​Justeru, beliau mencadangkan kerajaan negeri mewujudkan Tabung Pertanian dan Nelayan serta melaksanakan moratorium segera terhadap penukaran status tanah sawah kepada pembangunan komersial.

​Menyentuh mengenai kelestarian alam sekitar, Mohd Razali mempersoalkan peruntukan program karbon yang disifatkan tidak mencukupi serta kegagalan projek hutan simpan dirasmikan sebelum pilihan raya lalu.

​“Saya mencadangkan diwujudkan skim bayaran karbon sukarela kepada Orang Asli dan penduduk kampung yang memelihara hutan. Banyak contoh di Sungai Panjang seperti Hutan Simpan Sungai Karang dan Tanah Hutan Cangkat Menteri.

​“Ini dirasmikan Menteri Besar pada 2021 sebelum pilihan raya, namun sehingga kini tidak memberi apa-apa kesan kepada penduduk. Jangan jadikan hutan simpan sekadar modal untuk rasmi tanah bila nak pilihan raya,” tegasnya lagi. – HARAKAHDAILY 19/11/2025

- Advertisement -